top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jabatan Perikanan laksana pelbagai langkah kukuhkan kelestarian sumber ikan di Sabah


Tun Juhar (tengah) mengabdikan gambar kenangan bersama Azhar (empat dari kiri) dan rombongan.

16 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pelbagai langkah dilaksanakan Jabatan Perikanan bagi mengukuhkan kelestarian pengurusan sumber perikanan di Sabah, kata Pengarah Jabatan Perikanan Azhar Kassim.

Beliau berkata, antara yang dilaksanakan ialah berkolaborasi dengan agensi penguatkuasaan seperti Maritim Malaysia untuk mengambil tanggungjawab bersama menjaga perairan dalam konteks perikanan memandangkan Sabah merupakan negeri pengeksport ikan terbesar ke Semenanjung Malaysia dan luar negara.


“Dari semasa ke semasa, kita menambah anggota penguatkuasaan bagi memperketatkan kawalan bertujuan menangani masalah pencerobohan nelayan asing yang semakin meluas di Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Laut China Selatan.


“Selain itu, kita juga memasang tukun tiruan di pesisir pantai bagi memastikan sumber terpelihara dan tangkapan ikan sentiasa meningkat, “katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.


Terdahulu, Tun Juhar menerima kunjungan Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Brigedier Jeneral, Wan Edenin Wan Mahsin dan rombongan.Menurutnya, kunjungan berkenaan bertujuan untuk memaklumkan aktiviti ATB yang merupakan ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia turut terlibat dalam menjaga keselamatan pantai timur Sabah dengan pelbagai agensi antaranya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

bottom of page