Jadikan ILMAN sekolah pengajian undang-undang Anak Negeri di bawah UMS - Ewon
- Wartawan Nabalu News
- Nov 18, 2024
- 1 min read

18 November 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) dijadikan sekolah pengajian undang-undang Anak Negeri di bawah Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Beliau berkata, ini penting untuk mengangkat taraf Mahkamah Anak Negeri sama tingginya dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah termasuk menubuhkan Jabatan Kehakiman Anak Negeri Sabah.
“Kerajaan Sabah berbincang dengan UMS bagaimana menjadikan ILMAN sebagai salah satu sekolah atau fakulti pengajian UMS dalam bidang perundangan Anak Negeri Sabah.
“Dalam jangka masa panjang, kita perlu menyediakan hakim-hakim bertauliah tinggi di Mahkamah Anak Negeri di kalangan graduan- graduan di ILMAN, supaya kita boleh mengangkat taraf Mahkamah Anak Negeri,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan ke atas Belanjawan Negeri Sabah 2025, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Ewon juga mengalu-alukan peruntukan RM80.19 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.
Dalam hal ini beliau memohon penjelasan mengenai halatuju Kerajaan Sabah berkenaan ILMAN.
“Saya berpendapat, ILMAN tidak hanya sekadar menyediakan kursus-kursus latihan kepada Ketua-Ketua Masyarakat Anak Negeri tetapi sebenarnya boleh menjadi institusi yang menawarkan program pengajian sekurang-kurangnya ke peringkat Diploma Pengajian Undang-Undang Anak Negeri,” katanya.
Comments