top of page
  • nabalunews

JADIKAN SSPN SEBAGAI HADIAH PROGRAM ANJURAN AGENSI AWAM, SWASTA – PTPTN


7 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggalakkan agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan, untuk menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai pilihan utama bagi pemberian hadiah atau insentif dalam program yang dianjurkan.


PTPTN menyatakan, SSPN adalah produk simpanan pendidikan yang mempunyai pelbagai keistimewaan dan manfaat yang besar kepada para pendeposit.


“Antara keistimewaan yang bakal diterima oleh pendeposit adalah geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000, sekiranya anak-anak mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi, perlindungan takaful, dividen yang kompetitif, pelepasan taksiran cukai ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun dan banyak lagi,” menurut PTPTN dalam kenyataan di sini hari ini.


Menurut PTPTN lagi, sokongan daripada semua pihak kepada SSPN dapat membantu memperkasa amalan penabungan untuk pendidikan tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia dan tidak hanya bergantung kepada pinjaman pendidikan semata-mata.


Langkah Yayasan Islam Kelantan memberikan hadiah wang tunai RM500 seorang yang dikreditkan terus ke akaun SSPN-i kepada 592 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia, wajar dijadikan contoh kepada agensi kerajaan dan swasta yang lain.


Dalam kenyataan sama, PTPTN turut merakamkan penghargaan kepada My-Sutera Sdn Bhd, pengeluar kelengkapan sekolah jenama Canggih, kerana memilih SSPN-i sebagai sumbangan zakat perniagaannya bagi membantu golongan asnaf. - Bernama

bottom of page