top of page

Jahid Jahim Nafi Dakwaan Terima Rasuah Rm150,000

  • nabalunews
  • Jun 30
  • 1 min read

30 Jun 2025


KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Jahid Jahim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas yang disiarkan portal Malaysiakini, pada 28 Jun lalu.


Katanya, artikel berita bertajuk “Lagi Kejutan Sabah: Skandal pelombongan selubungi STAR, pemimpin tertinggi PBS” yang ditulis oleh wartawan RK Anand dan Alyaa Alhajri adalah tidak benar.


Dalam kenyataannya yang dikeluarkan hari ini berkata, beliau tidak terlibat sama sekali dalam sebarang skandal perlombongan seperti yang didakwa.


Malah katanya, beliau juga tidak pernah menerima sebarang wang berjumlah RM150,000 atau sebarang bentuk bayaran berkaitan kelulusan mahupun pengeluaran lesen perlombongan di Sabah.


“Kementerian yang saya terajui juga tidak mempunyai bidang kuasa dalam proses kelulusan atau pengeluaran lesen perlombongan.


“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, tiada sebarang lesen pencarigalian atau lesen perlombongan telah dikeluarkan mahupun diluluskan di kawasan DUN Tamparuli,” katanya.


Menurutnya, taktik penyalahgunaan media oleh pihak tertentu dilihat sengaja mencipta naratif negatif berkaitan rasuah tanpa sebarang siasatan rasmi dijalankan amat membimbangkan.


Katanya, pendekatan portal berita berkenaan dalam laporan itu melanggar prinsip undang-undang dan keadilan, kerana seolah-olah mengajak rakyat membuat keputusan sebelum proses perundangan diambil.


Sementara itu, Jahid berkata, beliau menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, yang turut menafikan dakwaan serupa.


Katanya, penggunaan media seperti ini adalah usaha untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri menjelang pilihan raya negeri akan datang.


“Ia satu taktik yang telah digunakan sejak dekad 1960-an dalam usaha menjatuhkan kerajaan di Sabah.


“Saya sedang mendapatkan nasihat perundangan dan berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini dan kedua-dua wartawan terbabit bagi membersihkan nama baik saya dan menghentikan penyebaran maklumat palsu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page