• nabalunews

JAKEL SUMBANG BAJU RAYA KEPADA 32 ANAK YATIM



3 Mei 2021


KOTA KINABALU: Menjelang Aidilfitri tahun ini, syarikat peneraju tekstil, Jakel Silk House sekali lagi menghulurkan sumbangan baju raya kepada 32 anak yatim.


Pengurusnya, Mohd Firhat Nazari berkata program tahunan itu dirancang di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) khusus untuk anak-anak yatim.


"Ini adalah program tahunan hasil kolaborasi dengan rakan-rakan NGO untuk golongan kurang berkemampuan.


"Sejak beroperasi pada tahun 2009, lebih 50 program CSR telah kita adakan untuk golongan ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, fakir miskin dan sebagainya.


Pengurus Jakel Silk House, Mohd Firhat Nazari

"Cuma pada tahun lepas sahaja kita tidak dapat mengadakan sebarang aktiviti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan oleh kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19," jelasnya.


Mengenai kolaborasi dengan pihak lain, Firhat mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak supaya lebih ramai golongan miskin dapat dibantu.


Firhat ditemui media pada Program Masih Ada Sayang dengan kerjasama Kolej Kiara Sulaman dan Rumah Anak Yatim (RAY) dan Mahad Tahfiz Home Tuaran di premisnya, pada Isnin.


Sementara itu, Eksekutif Hal Ehwal Pelajar da Alumni Kolej Kiara Kota Kinabalu, Mohd Zulhilmi Mohammad Azwan berkata pihaknya menjayakan program itu melalui sumbangan daripada beberapa pihak iaitu Skuad Komuniti Prihatin Sabah, Persatuan Kebajikan Islam Sabah, Yayasan Sabah dan orang perseorangan.


Sumbangan berjumlah RM4,000 itu selain dibelanjakan untuk membeli baju melayu, baki akan diagihkan kepada 32 pelajar terbabit dalam bentuk duit raya.


Di samping itu, merakamkan ucapan ribuan terima kasih, Pengurus RAY dan Mahad Tahfiz Home Tuaran, Junainah Hassan sangat bersyukur atas sumbangan yang diterima pihaknya.


Pengurus RAY dan Mahad Tahfiz Home Tuaran, Junainah Hassan

"Syukur dan terima kasih, sumbangan ini adalah hadiah kegembiraan untuk anak-anak kami seperti orang lain meraikan hari raya aidilfitri.


"Rumah ini telah beroperasi sejak tahun 2014 dan ini adalah tahun ketujuh dan menempatkan 32 pelajar lelaki yang datang dari pelbagai kategori anak yatim seperti mangsa perceraian, ibu tunggal, ibu bapa mualaf dan keluarga yang miskin.


"Mereka berusia di antara lapan tahun hingga 20 tahun dan kita menaja anak-anak ini sehingga mereka tamat pengajian mereka," ujarnya ketika menerima sumbangan yang disampaikan Pengarah Jakel Silk House Cawangan Sabah, Mohd Amran Mohd Nor.

- Penerangan