- Wartawan Nabalu News
“Jalan Mati” Skybridge KK timbulkan persoalan rakyat
7 September 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Laluan pejalan kaki baharu, Skybridge Kota Kinabalu yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Haji Noor baru-baru ini menimbulkan persoalan kepada rakyat apabila salah satu laluan ke pusat membeli belah Centre Point menemui jalan mati.
Perkara tersebut mengejutkan rakyat lebih-lebih lagi apabila kos pembangunan Skybridge sepanjang 371 meter tersebut dikatakan mencecah RM31.5 juta.
Rata-rata netizen mempersoalkan mengapa laluan tersebut seolah-olah "tidak siap" dan tidak dibina dengan sempurna memandangkan kos yang digunakan adalah besar.
Salah satu komen netizen dalam ciapan Twitternya berkata, "Laluan terbabit dibiarkan sahaja ‘tergantung’ tanpa sambungan. Ramai berpendapat laluan berkenaan akan jadi sia-sia jika tiada akses ke pusat membeli belah berkenaan.
"RM30 juta habis macam itu saja? Bagus baiki sekolah-sekolah di pedalaman… nak buat jejantas pun kasi la betul-betul dan cantik-cantik… ni entah apa-apa," kata seorang lagi netizen dalam ciapan Facebooknya.
"Fungsi jejentas untuk memudahkan orang melintas jalan raya, supaya dapat mengelak kemalangan..ini macam time mall tutup, orang mau melintas jalan macam asal juga,,, tiada erti lah ni jejentas 31 juta kalau begini..bunga-bunga ja kali ni," kata seorang lagi netizen.
Manakala ada juga netizen yang menjadikan isu laluan "jalan mati" itu sebagai bahan jenaka.
"Inilah stairway to heaven..knock knock knock on a heaven's door.
"Ini namanya... Sesiapa yang menggunakan jejantas ni....ianya adalah... 'Jejentas Prank' untuk pengguna.
"Pintu doraemon bah itu… boleh terus sampai Tokyo atau mana-mana alam lain ikut niat," kata seorang lagi netizen.
Beberapa netizen turut berpendapat bahawa lebih baik wang peruntukan pembinaan Skybridge tersebut digunakan untuk membina dan membaiki jalan-jalan di luar bandar.
"RM31 juta lebih baik dia turap jalan raya seluruh Sabah yangg teruk rosak berlubang daripada buat benda yang tiada faedah," kata seorang netizen dalam Facebook.
Upacara perasmian pembukaan Skybridge tersebut pada 3 September turut mengundang pelbagai komen orang ramai.
Ramai netizen menyindir dan marah apabila melihat gambar perasmian yang tular di media sosial yang mereka dakwa tidak mematuhi SOP seperti yang termaktub dalam Pelan Pemulihan Negara Fasa 2 bagi negeri Sabah.
"Tahniah kerana patuhi SOP," sindir seorang netizen dalam ciapan Facebooknya.
"Pemimpin sendiri pun buat hal. Tiada satu pun SOP kerajaan persekutuan mahupun negeri adakan acara secara fizikal... Semua acara perlu dibuat secara dalam talian... Siang malam frontliner kita menjaga rakyat supaya patuhi SOP... Ini pemimpin sendiri bah yang susah mau dijaga,” kata seorang lagi netizen.
Dalam PPN Fasa 2 negeri Sabah, SOP menyatakan bahawa majlis rasmi atau tidak rasmi kerajaan tidak boleh dianjur.
Comentários