- Wartawan Nabalu News
PENGGUNA JALAN PENAMPANG-TAMBUNAN DIINGAT BERHATI-HATI

17 Jan 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pengguna jalan Penampang – Tambunan diingatkan supaya berhati-hati susulan kejadian mendapan serta pergerakan tanah atau tanah runtuh di beberapa kawasan sepanjang jalan itu.
Menurut pengguna jalan yang melalui jalan berkenaan kira-kira jam 9 pagi tadi, kawasan itu masih boleh dilalui.
“Tadi pagi, ia tidak seteruk itu, syukur kami dapat lalu,” kata Erna Dominik kepada Nabalu News, hari ini.
Pengguna jalan Penampang-Tambunan berharap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat memperbaiki kerosakan itu secepat mungkin.
Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), mengeluarkan amaran cuaca bahaya dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sehingga Isnin ini.
Menurut kenyataan itu, kawasan yang terlibat di negeri ini termasuk pedalaman Sabah, Sandakan dan Kudat.
Amaran yang sama juga dikeluarkan untuk Wilayah Persekutuan Labuan.
