top of page
  • nabalunews

JAMBATAN KG.PIASAU SELAMAT DIGUNAKAN


Kerja-kerja pembaikan sedang dimulakan di tebing jambatan Kampung Piasau.

22 OKTOBER 2020

Oleh Jaafar Abd Wahid

KOTA BELUD: Jambatan kampung Piasau yang menjadi laluan utama penduduk kampung itu dan sekitarnya selamat digunakan untuk semua jenis kenderaan walaupun terdapat kesan tanah runtuh.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, bahagian kejuruteraan JKR mengesahkan bahawa laluan berkenaan masih selamat digunakan.

“Tidak perlu bimbang, keadaan jambatan ini masih baik dan kukuh hanya memerlukan sedikit pembaikan bagi menghalang hakisan berlanjutan dan kerja-kerja membaiki Kepala Jambatan (Abutment) akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, di sini, kelmarin.

Beliau yang juga berkata demikian bagi mengulas kebimbangan orang ramai yang melalui jambatan tersebut yang mendakwa terdapat sedikit hakisan berlaku di kawasan tebing jambatan Kampung Piasau .


Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kerja-kerja pembaikan di tebing sungai berkenaan sepatutnya mula dilaksanakan pada Selesa lepas, bagaimanapun faktor cuaca hujan, banjir dan air yang deras, kerja-kerja pembaikan terpaksa ditangguhkan.

”Pihak kontraktor yang akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan ini telah pun menghantar beberapa buah mesin ke kawasan ini, jika keadaan cuaca mengizinkan kerja-kerja akan dimulakan segera,” katanya.

Dalam perkembangan lain Bung berkata Jambatan di kampung Melangkap yang runtuh ekoran banjir baru-baru ini telah pun siap dan kini boleh digunakan.

Kerja-Kerja pembaikan Jambatan Kampung Melangkap siap sepenuhnya dan boleh digunakan.

Katanya kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu selepas tinjauan beliau di kawasan itu baru-baru ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan JKR Pusat dan daerah atas komitmen menangani masalah ini,” katanya.

Tambah Bung, Kota Belud adalah antara daerah yang banyak mengalami kerosakan jalan dan jambatan runtuh ekoran bencana banjir yang sering berlaku di daerah itu.

“Di lain lain daerah saya juga meminta pihak Jurutera Daerah untuk memantau keadaan, ini selari dengan tanggungjawab pasukan petugas khas yang kita tubuhkan bagi memantau keadaan ini,” katanya.

bottom of page