Jangan jadikan NCA membebankan seperti perjanjian PDA dengan Petronas - Ewon
21 Feb 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Kerajaan negeri diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan perjanjian Akta Pembangunan Petroleum (PDA) dengan meneruskan Perjanjian Pemuliharaan Alam Semulajadi (NCA) sehingga menimbulkan masalah kepada generasi Sabah akan datang.
Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan negeri seharusnya mengambil ikhtibar daripada sejarah perjanjian yang pernah dimeterai oleh kerajaan negeri sebelum ini seperti perjanjian PDA yang menyerahkan hak ekslusif pembangunan gas dan minyak di Sabah kepada Petronas.
“Kita mesti mengambil ikhtibar dari sejarah perjanjian-perjanjian sebelum ini. Sebagai rakyat Sabah dan penggubal undang-undang negeri, kita masih bercakap tentang tuntutan ke atas Perjanjian Malaysia. Kenapa sampai sekarang kita masih menuntut? Sebab pelaksanaan Perjanjian Malaysia yang dibuat pada tahun 1963 itu tidak sempurna dan menimbulkan banyak masalah sampai sekarang.
“Kuasa ke atas pengeluaran lesen dan permit perikanan laut dalam hanya diperolehi 58 tahun selepas Perjanjian Malaysia. Adakah itu satu pencapaian yang boleh dibanggakan? Dalam perjanjian NCA, ianya melibatkan tempoh 100 tahun. Bagaimana dengan tuntutan perkampungan Orang Asal yang terperangkap dalam Hutan Simpan jika kawasan itu dimasukkan dalam NCA?
“Pada saya perjanjian NCA ini juga sangat besar kerana melibatkan tempoh yang lama dan kawasan yang besar. Ianya sepatutnya dibuat dengan telus supaya tidak berlaku seperti Perjanjian Petronas yang memberi banyak masalah kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Taklimat Khas mengenai NCA di Pusat Latihan Pacos, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berharap kerajaan lebih telus dalam perjanjian NCA.
“Kalau kita lihat di media secara terbuka peguam negeri dan pengarah perhutanan memberi gambaran seolah-olah dalam pentadbiran kerajaan itu sendiri ada ‘loophole’ di mana mereka seolah-olah tidak ada koordinasi dan kesatuan sesama sendiri.
“Peguam negeri juga menulis surat yang telah dikongsi secara terbuka mengenai beberapa perkara berkaitan perjanjian ini. Ini membimbangkan kita,” katanya.
“Kita mesti melakukan sesuatu dengan betul dan memperbetulkan apa yang menjadi kebimbangan rakyat Sabah ketika ini agar ia tidak berpanjangan atau menjadi masalah yang terpaksa ditanggung oleh generasi akan datang.
“Kita juga tidak mahu kepimpinan negeri atau para penggubal undang-undang negeri iaitu ADUN-ADUN pada hari ini dipersalahkan oleh generasi akan datang kerana gagal memastikan proses ketidaktelusan perjanjian NCA tersebut.
“Dalam kecenderungan dan keterujaan kerajaan negeri hari ini mencari sumber-sumber hasil baharu kerajaan untuk pembangunan, jangan lupa tentang isu ketelusan yang mungkin boleh menyebabkan masalah dan bebanan kepada rakyat Sabah pada masa akan datang,” katanya.
Ewon berkata, sekiranya Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr.Jeffrey Kitingan telus berkaitan NCA, ia boleh dimulakan dengan mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk wakil-wakil rakyat negeri ini.
“Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, saya telah bertanya sama ada konsultasi atau perundingan telah dibuat dengan semua pihak berkepentingan terutamanya orang asal di Sabah yang akan terkesan dan dalam jawapan itu, diberi jaminan akan ada konsultasi.
“Tetapi di kawasan saya sendiri (Kadamaian) yang berkemungkinan besar terlibat dalam perjanjian ini belum pun dipanggil untuk sesi konsultasi. Jadi kalau dia (Jeffrey) memberi jaminan ada ketelusan dalam hal ini, ia harus dimulakan dengan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Comments