top of page
  • Wartawan Nabalu News

JANGAN PINGGIRKAN GRADUAN DIPLOMA PENDIDIKAN LEPASAN IJAZAH UMS: PEKADIN


Simon Molubi

21 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) merayu kepada Kementerian Pendidikan supaya "tidak sama sekali" menutup peluang graduan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk diambil sebagai Guru DG41.


Naib Presiden Pekadin Simon Molubi berkata berdasarkan maklum balas, ramai graduan Diploma Pendidikan lepasan ijazah dari universiti itu yang hampa kerana permohonan mereka bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 sebelum ini tidak berjaya.


Beliau berkata subjek yang diajar di peringkat Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah itu amat relevan dan menyeluruh termasuk bahasa Melayu, Sains, Matematik, Geografi dan Sejarah.


"Adalah tidak wajar untuk menafikan sama sekali peluang kepada pemohon yang memiliki Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah. Ini kerana, difahamkan, ada di kalangan mereka yang memperolehi kelayakan akademik yang cemerlang iaitu Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.


"Walaupun terpaksa bersaing dengan pemohon dari kalangan graduan institut keguruan namun graduan cemerlang yang telah memperolehi Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah seharusnya juga diberi peluang yang sewajarnya. Sebab itu, Pekadin merayu agar mereka tidak dipinggirkan semasa pengambilan guru "one-off" yang akan datang, " katanya dalam kenyataan hari ini.


Simon berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin semalam berhubung perkara itu.


Radzi dipetik sebagai berkata bahawa Kementerian Pendidikan akan melaksanakan pengambilan khas secara 'one-off' seramai 18,702 pendidik, bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri.


Radzi berkata, permohonan pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 itu, akan dibuka mulai 7 Julai untuk membolehkan pendidik ditempatkan secara berperingkat di sekolah masing-masing bermula Oktober depan.


Menurutnya, negeri yang terutamanya berdepan dengan kekurangan guru adalah Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

bottom of page