Jangan Terlibat Dengan Sebarang Perhimpunan, Perarakan dan Demonstrasi
- nabalunews
- Jun 20, 2025
- 2 min read

20 Jun 2025
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi peringatan tegas kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk perhimpunan, perarakan dan demonstrasi yang akan diadakan esok.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Musa berkata, pihak penganjur juga bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan perhimpunan yang dianjurkan tidak mengganggu ketenteraman awam.
Katanya, ia termasuk tidak menghalang laluan trafik atau menjejaskan keselamatan masyarakat sekeliling.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin mengingatkan orang awam agar tidak terlibat atau menyertai mana-mana bentuk perhimpunan, perarakan atau demonstrasi yang diadakan pada 21 Jun ini oleh pihak tertentu tanpa mematuhi peruntukan undang-undang mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 [Akta 736].
“Mereka yang ingkar boleh disiasat mengikut 12 senarai kesalahan jenayah berkaitan perhimpunan aman,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, antara kesalahannya ialah Seksyen 121B Kanun Keseksaan (Akta 574) atas kesalahan terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri dan membawa hukuman penjara seumur hidup.
Katanya, peserta juga boleh disiasat mengikut Seksyen 142 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana enyertai perhimpunan menyalahi undang-undang yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya.
“Selain itu, seksyen lain yang terlibat ialah Seksyen 499 / 500 Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 504, Seksyen 186, Seksyen 509 akta yang sama yang membawa pelbagai hukuman termasuk penjara, denda dan sebat.
“Begitu juga dengan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), Seksyen 4(2)(d) dan (e) akta sama, Seksyen 21(2) Akta Polis 1967 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357),” katanya.
Sementara itu, Kasim berkata, PDRM menegaskan komitmen untuk memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi serta keamanan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Katanya, pihak polis tidak menghalang mana-mana pihak untuk bersuara atau berkumpul secara aman, asalkan ia dilakukan secara sah, tertib dan mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan atau propaganda pihak tertentu yang cuba mencetuskan kekeliruan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh diajukan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.















Comments