top of page

Jaring penghalang sampah di Kampung Sim-Sim, Sandakan bantu usaha pengurusan sampah lebih baik

nabalunews

12 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN : Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, Future Alam Borneo (FAB) hari ini memasang jaring penghalang sampah di Jambatan E, Kampung Sim-Sim, di sini yang bertujuan untuk memastikan kerja pembersihan sampah di kampung berkenaan berjalan lancar selain mengelak sampah dari kawasan lain kembali hanyut ke pesisir laut kampung itu.


Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, selepas pemasangan jaring  penghalang sepanjang 150 meter di sebelah kiri Jambatan H, Kampung Sim-Sim, Jun lalu, kini satu lagi jaring penghalang sepanjang 130 meter dipasang di Jambatan E, Kampung Sim-Sim.


Vivian gembira kerana inisiatif FAB telah berjaya mengumpul dan membersihkan lebih dari 500 kilogram plastik dalam tempoh hanya sebulan selepas kerja pembersihan dan pengumpulan sampah dilakukan di jaring penghalang sebelah kiri Jambatan H, Kampung Sim-Sim.


Vivian berterima kasih kepada FAB, NGO, Youth Eco Toyota dan pelajar Sekolah Menengah Sung Siew atas sumbangan mereka kepada masyarakat dengan menyertai proses pembuatan dan pemasangan jaring penghalang yang diperbuat dari botol minuman terpakai dan jaring serta menyumbang tenaga untuk membersihkan dan mencantikkan kawasan kampung itu.


Beliau juga menggesa penduduk untuk saling bekerjasama dan saling mengawasi untuk bersama-sama melindungi alam sekitar.


Katanya, jika penduduk melihat ada individu yang membuang sampah ke laut, perbuatan tidak bertanggung jawab itu harus dihentikan oleh penduduk.


Penduduk juga diminta memberikan nasihat kepada si pembuang sampah itu agar mereka tidak memgulangi perbuatan itu.


Vivian turut menyeru lebih banyak NGO untuk turut serta dalam usaha memelihara alam sekitar di Sandakan dan menyumbang kepada projek pembersihan Kampung Sim-Sim agar Sandakan menjadi lebih bersih dan indah.


Kampung Sim-Sim adalah sebuah kawasan perumahan atas air yang tersusun di Sandakan dan sering menjadi tumpuan pelancong dengan makanan laut segar serta aktiviti riadah memanjat Bukit Sim-Sim.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page