top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jawatankuasa antara parti tuntut hak Sabah adalah langkah terbaik

1 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Cadangan mewujudkan jawatankuasa antara parti bagi menuntut hak Sabah adalah langkah terbaik dan bermanfaat khususnya kepada negeri Sabah.


Gesaan yang dibuat Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, dilihat sebagai usaha bersama antara blok kerajaan dan pembangkang dalam memastikan tuntutan berkenaan dapat direalisasikan.


Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook berkata, selaras dengan kerajaan perpaduan yang dinamik ketika ini, kejayaan terhadap tuntutan berkenaan akan mampu dicapai.


Katanya, disebaliknya perbezaan logo parti, beliau percaya perjuangan yang dibawa semua pihak adalah sama iaitu mengembalikan semula hak yang sepatutnya diterima Negeri Sabah.


“Sudah tiba masanya perkara ini diberikan keutamaan oleh semua pihak kerana ia adalah ‘kunci’ kepada pembangunan dan kemajuan di negeri Sabah.


“Hak serta kepentingan negeri Sabah ini perlu dihormati kerana ia juga adalah sebahagian kepada asas lahirnya Negara Malaysia,” katanya.


Thien Fook berkata, beliau juga percaya dengan kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tuntutan yang ‘tergantung’ selama ini akan dapat dikembalikan.


“Kerjasama kerajaan perpaduan ini perlu diteruskan dengan kesepakatan yang mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri Sabah.


“Ini bagi menyempurnakan hasrat dan harapan rakyat Sabah untuk beralih ke fasa pembangunan yang baharu,” katanya.

bottom of page