• Wartawan Nabalu News

Jawatankuasa Audit dan Forensik Pemilih perlu ditubuhkan: Madius



2 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Madius Tangau meminta supaya sebuah Jawatankuasa Audit diwujudkan bagi mengaudit senarai pengundi yang didaftar secara automatik.


Beliau berkata, ia penting bagi membersihkan pengundi yang memegang dokumen Kad Pengenalan yang diragui terutamanya di Sabah dan pengundi yang sudah meninggal dunia sebelum ianya digunakan dalam PRU15.


“Pelbagai kajian telah dibuat oleh para sarjana tentang gejala pertumbuhan penduduk Sabah yang sangat luar biasa dengan lebih satu juta orang pemegang Kad Pengenalan yang diragui.


“Oleh itu Integriti senarai pemilih di Sabah sangat penting untuk diperbetulkan,” katanya ketika membahas titah diraja pada persidangan dewan rakyat, hari ini.


Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, kerajaan juga harus mengakui dan mempertimbangkan dengan teliti kesaksian individu seperti Jabar Khan Napi dan Hassnar Ebrahim semasa sesi Sidang Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti di Bangunan Parlimen pada 26 Februari 2007.


“Kenyataan kedua-dua saksi tersebut, terdapat dalam hansard parlimen, belum pernah disangkal oleh mana-mana pihak dan kini merupakan bukti kukuh bahawa satu Petugas Khas UMNO Sabah pada 1991 telah memberikan Kad-kad Pengenalan kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).


“Seterusnya didaftarkan sebagai pemilih lalu diagih-agihkan ke beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah dengan tujuan menumbangkan kerajaan pimpinan parti tempatan ketika itu.


“Sehingga pada hari ini tidak ada penafian dari dari para pengkhinat yang terlibat dalam Projek IC tersebut. Walaupun kedua-dua saksi tersebut telah ditangkap dan ditahan di bawah ISA selama dua tahun dan seterusnya under house arrest buat beberapa ketika, namun mereka tidak pernah didakwa di Mahkamah terbuka sama ada oleh pihak kerajaan mahupun di saman oleh pengkhianat yang disebut terlibat oleh Jabar Khan dan Hassnar Ibrahim,” katanya.


Madius berkata, dengan kewujudan pertumbuhan penduduk sangat luar biasa di Sabah iaitu, bertumbuh daripada 454,561 orang pada 1961 dan tahun 2021 meningkat kepada 3.8 Juta.


“Berbanding penduduk Sarawak pada 1960 yang sudah ada 744,529 orang tetapi tahun 2021 penduduk Sarawak hanyalah 2.8 Juta.


“Penduduk Sabah mengatasi penduduk Sarawak dengan lebih satu juta orang. Pertumbuhan penduduk luar biasa di Sabah adalah disebabkan oleh perbuatan khianat pemimpin-pemimpin yang gila kuasa dan pangkat seperti yang disebut oleh Jabar Khan dan Hassnar Ibrahim dalam kesaksian mereka,” katanya.


Beliau berkata, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Kebanjiran PATI di Sabah juga sarat dengan pembuktian yang disampaikan oleh pelbagai saksi namun sudah sembilan tahun berlalu namun rekomendasi dalam laporan tersebut belum dilaksanakan.


“Dimanakah maruah negara apabila berkali-kali mengadakan RCI tetapi rekomendasi gagal dilaksanakan. Siapa yang mau percaya dengan Malaysia?,” kata Madius.


Madius berkata, oleh kerana terdapat lebih satu juta penduduk Sabah mempunyai dokumen Kewarganegaraan yang diragui, maka Dewan hendaklah membuat ketetapan agar sebuah Jawatankuasa Audit dan Forensik Pemilih yang dianggotai oleh Pakar-pakar kependudukan dan Wakil daripada parti-parti politik hendak ditubuhkan untuk mengaudit kesahihan senarai Pengundi tersebut dan seterusnya menyiasat latarbelakang setiap pemilih yang memiliki dokumen Kewarganegaraan yang diragui.