- Wartawan Nabalu News
JAWATANKUASA KHAS DUN TUNTUT HAK SABAH PERLU DIWUJUDKAN: EWON
21 DIS 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mencadangkan agar Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri ditubuhkan bagi membantu kerajaan negeri menuntut dengan lebih baik hak-hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Beliau berkata dengan adanya jawatankuasa tersebut, akan memperlihatkan kesatuan semua anggota DUN Sabah sebagai pimpinan negeri pada masa kini.
“Seterusnya Ahli-Ahli Dewan boleh diberi update mengenai perkembangan tuntutan hak-hak kita yang dibincangkan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Usaha berkaitan tuntutan semula hak kita tidak perlu dirahsiakan daripada rakyat jelata kerana ini merupakan perjuangan bersama keseluruhan rakyat Sabah,” katanya ketika menyampaikan ucapan bahas pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.
Ewon berkata, antara yang boleh dibuat oleh jawatankuasa tersebut ialah mengembalikan semula perkataan asal Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Saya cadangkan kita bentangkan usul tersebut di Dewan ini dan wartakan sebagai satu keputusan untuk diangkat oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat kita di Parlimen.
Beliau berkata Ahli Dewan bukan setakat berperanan sebagai semak dan imbang, tetapi menyokong segala usaha Kerajaan Negeri untuk menuntut hak-hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Saya percaya, usaha sedemikian bukan hanya perjuangan Ketua Menteri seorang, tetapi perjuangan semua Ahli Dewan ini, dan perjuangan semua rakyat Sabah,” katanya.
Comments