JBPM tingkat kesiapsiagaan hadapi kebakaran tanah gambut di 20 lokasi seluruh negara

13 Jun 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi monsun Barat Daya dengan menempatkan 23,566 anggota dari 338 balai bomba dan 358 balai pasukan bomba sukarelawan (PBS) di seluruh negara.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, PPjB Mohamad Shoki Hamzah, menyatakan bahawa JBPM telah mengenal pasti 20 lokasi utama kebakaran tanah gambut yang melibatkan tujuh negeri termasuk Sabah dan Sarawak, serta beberapa negeri di Semenanjung seperti Selangor, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
"Kita telah mengarahkan setiap negeri untuk melakukan pemantauan dan rondaan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai titik panas atau kawasan yang mudah berlakunya kebakaran.
"Musim monsun Barat Daya kita berikan tumpuan contohnya pam untuk tanah gambut, ada pam angkut. Kita juga buat kolaborasi dengan agensi-agensi lain untuk mendapatkan sumber air tersebut," tambahnya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai, terutama petani, untuk mengawal aktiviti pembakaran terbuka dalam keadaan cuaca panas sekarang ini bagi mengelakkan kebakaran besar yang boleh merosakkan harta benda dan mengancam keselamatan.
"Jadi kalau boleh, perlu ada pengawalan untuk melakukan pembakaran. Kita faham sekiranya untuk melakukan pembakaran ia tidak dilakukan ketika musim hujan, mesti tunggu musim kemarau. Jadi untuk pembakaran perlu ada kawalan, sekiranya tidak dikawal ia akan terus berulang," katanya.
Comments