top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jelajah Belia Sarawak 2023 @ Sabah beri peluang interaksi bersama pemimpin


3 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Program Jelajah Belia Sarawak 2023@Sabah memberi peluang belia berinteraksi terus dengan pemimpin.


Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata program tersebut merupakan platform terbaik dalam menghimpunkan para belia Sarawak yang sedang melanjutkan pelajaran, bekerja mahupun menetap di Sabah, sekaligus mendengar aspirasi dan point of view mereka.


"Program ini bukanlah sebuah program politik, melainkan untuk membentuk kepimpinan dalam kalangan belia dan mendengar sendiri aspirasi serta realiti belia-belia di seluruh Sarawak, dan juga di Sabah.


"Setiap belia mempunyai kekuatan dan potensi tersendiri yang boleh dibangunkan melalui pelbagai ruang agar menjadi individu yang berkualiti dan mampu menyumbang kepada masyarakat.


"Golongan ini juga menjadi aset penting kepada pembangunan dan menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin sedia ada untuk membimbing mereka menjadi barisan pelapis baharu bagi meneruskan kecemerlangan yang kita bina pada hari ini," katanya semasa Majlis Perasmian Program Jelajah Belia Sarawak 2023@Sabah.


Beliau turut memaklumkan akan menghantar rombongan termasuk para pemimpin belia ke negara yang mempunyai program pengurusan belia yang mapan.


"Kita telah mengenal pasti negara Korea dan akan mengadakan perjumpaan bersama agensi ataupun kementerian yang terlibat dalam pengurusan golongan muda.


"Setiap perkara yang dilakukan warga Korea, selalu dilaksanakan dengan kecemerlangan seperti bidang hiburan, drama musikal dan industri automobil.


"Jadi kita akan melihat apakah formula engagement bersama belia yang digunapakai, yang menjadikan mereka sangat cemerlang," katanya yang juga Menteri Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.


Sementara itu, dalam sidang media Abdul Karim menyatakan pihaknya mempertimbangkan pelaksanaan simposium belia yang lebih besar melibatkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan.


Turut hadir dalam program tersebut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Arif, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick dan Presiden Majlis Belia Sabah(MBS), Abqaree Fawwaz Abekan.

bottom of page