JHL buru suspek bunuh 11 penyu hijau dengan kejam di Semporna
4 Okt 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) sedang memburu suspek yang membunuh 11 ekor penyu hijau dengan kejam di Kampung Amboh-Amboh, jumaat lalu.
Pengarahnya, Augustine Tuuga berkata, bangkai penyu itu ditemui dalam keadaan yang baru dilapah pada pukul 9.41 pagi melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang terdiri daripada tiga orang kakitangan JHL dan lima orang anggota PGA Tiger Platoon
"Pada 2 Oktober, operasi serbuan di kawasan hotspot sekali lagi dijalankan untuk menangkap, namun tiada suspek dapat ditangkap.
"Di samping itu, pasukan OBK turut merampas dua karung putih yang disyaki daging penyu, 11 keping plastron, sebatang kait, dapur masak, kuali, pisau, kapak dan batu asah di lokasi kejadian. Sehingga kini operasi untuk memerangkap penjenayah masih dijalankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Augustine, OBK berjaya menangkap seorang pelaku bersama 12 keping plastron, 39 keping sisik marginal dan 4.8kg lemak penyu pada 6 Julai lalui.
Pelaku yang ditangkap telah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman RM150,000 dan empat tahun penjara.
"Jenayah hidupan liar melibatkan penyu laut yang berlaku di daerah Semporna ini biasanya dilakukan oleh Bajau Laut atau dikenali sebagai Pelauh yang tiada pengenalan dir.
"Amat susah bagi penangkapan dilakukan kerana mereka menggunakan perahu kecil yang mudah mendarat di pulau. Penjenayah hidupan liar itu kemudian masuk ke dalam hutan untuk mengelak dari dikesan," jelasnya.
Augustine turut memohon kerjasama penduduk setempat agar melaporkan aktiviti pemburuan penyu ini kepada jabatan sekiranya mereka mempunyai maklumat agar jenayah di perairan daerah Semporna dapat dibanteras.
Comments