• nabalunews

JHL SIASAT DAKWAAN HIDANG TELUR PENYU PADA MAJLIS 'MAKAN BESAR'


Gambar Hiasan

18 FEB 2021


SANDAKAN: Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) sedang menyiasat dakwaan bahawa telur penyu dihidang pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina saudara lelaki kepada seorang bekas ahli dewan undangan negeri ini.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata beliau telah mengarahkan agar jabatan itu menjalankan siasatan yang menyeluruh dan terperinci memandangkan agak sukar bagi JHL mengambil tindakan undang-undang berdasarkan gambar semata-mata.


“Tindakan tegas perlu diambil dan kami (kerajaan) mahu memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.


“Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Sabah untuk melindungi dan memulihara hidupan liar kita yang terancam agar tidak pupus,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk 15 buah kampung di Sukau yang terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan, di sini hari ini.


Jafry turut mengarahkan JHL memantau rapat jualan telur penyu secara haram, khususnya di beberapa kawasan di daerah ini.


Gambar mengenai hidangan telur penyu pada majlis ‘makan besar’ itu tular menerusi media sosial dan menerima kritikan masyarakat, khususnya aktivis hidupan liar.


Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan memiliki hidupan liar yang dilindungi di bawah undang-undang itu. - Bernama