• Wartawan Nabalu News

Jika GRS mahu satukan parti tempatan, kenapa tidak terima PCS, KDM dan LDP? - Ewon


Ewon (tiga kanan), Donald (tengah), Pengiran (dua kanan) dan Joesey (tiga kiri) bersama-sama memotong kek Hari Bapa selepas majlis itu.

18 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


MEMBAKUT: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mempersoalkan “cakap-cakap” Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu menyatukan semua parti politik tempatan Sabah tetapi tidak menerima keanggotaan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Demokratik Liberal (LDP).


Menurut beliau, pimpinan dan penyokong-penyokong GRS telah meniup sentimen lokal dengan harapan ianya boleh mencapai kejayaan yang ditunjukkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetapi gagal menterjemahkan “cakap-cakap” tersebut setakat ini.


“Banyak rakan dalam GRS bercakap mengenai wawasan gabungan tersebut ditubuhkan iaitu mahu menyatukan parti-parti tempatan Sabah. Ironinya apabila mereka menerima parti USNO secara rasmi sebagai parti komponen, mereka tidak pula menerima KDM, PCS dan LDP dalam gabungan itu. Jadi pada saya, “cakap-cakap” itu kedengaran kuat pada sentimen dan semangat tetapi tidak pada realitinya,” katanya.


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

Ewon berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tritahunan UPKO Bahagian Kimanis di sini, hari ini.


Terdahulu semasa berucap merasmikan mesyuarat agung tritahunan UPKO Bahagian Sipitang, Ewon turut menyentuh persoalan yang sama.


“Ahli-ahli UPKO bertanya apa pandangan saya mengenai penubuhan GRS, maka itulah pandangan saya. Ya, kesatuan parti-parti tempatan itu penting tetapi jika dikait dengan GRS, saya berpandangan mereka belum lagi dapat menjayakan “cakap-cakap” mereka mahu menyatukan parti-parti tempatan. Seseorang yang rasional pasti bertanya, kenapa boleh terima USNO tetapi tidak terima KDM, PCS dan LDP?


Ewon (kanan) menerima cenderahati daripada Lawrence dan Donald (dua kiri) menerima cenderahati daripada Joesey.

“Saya juga berpendirian bahawa bersahabat dengan semua parti, tidak kira apa blok politiknya, adalah sesuatu yang baik. Tetapi dalam hal-hal mengenai hak dan kepentingan Sabah, ianya mesti diputuskan di Sabah oleh gabungan pimpinan blok politik itu di Sabah. Ini termasuklah juga blok Pakatan Harapan (PH) Sabah,” katanya.


Dalam ucapan beliau, Ewon turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ketua Bahagian UPKO Kimanis, Lawrence Odong yang telah memastikan parti tersebut mengambil bahagian dalam tadbir urus kawasan selama ini serta memastikan parti terus bergerak aktif.


Dalam mesyuarat agung tersebut, Lawrence memberi laluan kepada mantan guru besar Joesey Lim untuk mengambil alih sebagai Ketua Bahagian UPKO Kimanis bagi penggal 2022-2025.