• Wartawan Nabalu News

Jika menteri tidak bina jalan, bolehkah tambah baik dasar dan proses tadbir urus - Ewon


21 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick meminta komitmen daripada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Bung Moktar agar menambahbaik dasar dan proses tadbir urus berkaitan pelaksanaan projek naik taraf jalan-jalan raya. “Di media sosial, seseorang yang menggunakan nama facebook sama dengan nama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya menyatakan bukan tugas menteri untuk membina jalan raya, tugas menteri hanya menjaga dasar. Saya tahu YB Menteri juga telah menyatakan suara di Dewan Rakyat berkenaan dengan kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur seperti naik taraf jalan-jalan raya. “Saya ingin bertanya kepada YB Menteri Kerja Raya, dari segi dasar, tidak bolehkah dasar itu ditambahbaik supaya prosesnya dapat dipercepatkan agar rakyat menikmati kemudahan jalan dengan lebih cepat juga? Kenapa perlu dua hingga tiga tahun, malah ada yang lebih lama, baru kerja-kerja sebenar di lapangan bermula. “Bolehkah YB Menteri beri jaminan di Dewan ini agar menambahbaik dasar-dasar dan proses-proses tadbir urus yang berkaitan supaya projek yang diluluskan dalam satu-satu rolling plan dapat dimulakan pada tahun rolling plan itu juga. “Saya nyatakan demikian kerana rakyat Kadamaian belum lagi melihat kerja-kerja sebenar di lapangan bagi projek menaiktaraf jalan Mandap-Kinasaraban-Doluoh dan jalan Tengkurus-Lahanas yang diluluskan dalam rolling plan sebelum ini, begitu juga dengan jalan Sayap-Mansulit dan jalan Tambulaung-Podos yang telah diluluskan,” katanya. Ewon menyatakan beliau turut mengemukakan soalan-soalan bertulis mengenai status semasa projek naiktaraf jalan-jalan di Kadamaian yang telah diluluskan dan beliau berharap jawapan yang diberikan oleh Kementerian dapat dikongsikan kepada rakyat Kadamaian.