- nabalunews
Jin Zhe kerjasama dengan Ewon untuk program bakul maknanan
12 Sept 2021
Oleh Wartawan Nabalu News KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe memulakan kerjasama dengan ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick untuk melaksanakan program bantuan bakul makanan kepada keluarga yang amat memerlukan akibat pandemik covid-19 dan bencana alam. Pada Sabtu lalu, Jin Zhe telah menyampaikan sumbangan 200 set bakul makanan kepada Pusat Khidmat Adun Kadamaian untuk diagihkan kepada golongan sasaran yang telah menghubungi Ewon dan pusat khidmat beliau bagi bantuan tersebut. “Program bantuan untuk rakyat seperti ini adalah antara yang telah saya dan Ewon bincangkan dalam beberapa pertemuan kami sebelum ini. Kami memulakan kerjasama ini di DUN Kadamaian dan seterusnya kami berharap dapat membantu beberapa kawasan DUN lain seterusnya dengan melibatkan ADUN setempat,” kata Jin Zhe. Menurut beliau lagi, kerjasama tersebut juga termasuk usul-usul, isu-isu dan soalan-soalan yang perlu dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri Sabah pada minggu hadapan. “Sebagai ADUN Luyang dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Sabah, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memperkasakan kerjasama dengan rakan-rakan ADUN serta pemimpin-pemimpin parti komponen untuk membantu rakyat Sabah. “Walaupun kami berada di blok pembangkang pada masa ini, tetapi kami akan meneruskan inisiatif bersama seperti ini. “Dalam masa yang sama, kami akan meneruskan peranan semak dan imbang kepada perjalanan urustadbir Kerajaan Negeri Sabah dan juga Kerajaan Persekutuan,” katanya. Sementara itu, Ewon merakamkan penghargaan kepada Jin Zhe kerana sudi membantu dan memberi sumbangan kepada Program Bantuan Bakul Makanan Pusat Khidmat Adun Kadamaian. “Masih banyak keluarga di Kadamaian yang menghubungi saya dan pusat khidmat saya berkenaan bantuan ini, samada mereka yang amat terjejas akibat covid dan juga mangsa bencana seperti banjir. “Pada masa ini, selain daripada saya sendiri, pusat khidmat ini juga bergantung sepenuhnya kepada sumbangan para penderma. “Kita mengalu-alukan sumbangan seperti ini untuk kita sampaikan kepada keluarga-keluarga susah tersebut,” katanya. “Semasa dalam Kerajaan sebelum ini, saya dan Jin Zhe juga bekerjasama dalam banyak perkara termasuk isu-isu yang kami bangkitkan dalam mesyuarat Kabinet pada ketika itu dan beberapa inisiatif pembangunan untuk rakyat. “Selaku generasi muda dalam parti masing-masing, dalam gabungan parti dan di Sabah, kami berharap kerjasama ini juga mendapat restu dan sokongan daripada generasi muda yang lain. “Kami akan memperkasakan kerjasama ini terutamanya di kalangan generasi muda ADUN yang ada sekarang untuk membangkitkan usul-usul dan isu-isu rakyat semasa sidang nanti sepertimana kami memulakan dengan mengemukakan Usul Khas Dewan membuat ketetapan mengenai cadangan Enakmen Kawalan Penyakit Berjangkit Sabah,” kata Ewon. Menurut beliau, penyampaian bantuan bakul makanan ini akan diselaraskan oleh urusetia Pusat Khidmat Adun Kadamaian dengan kerjasama Kelab Kebajikan Kadamaian dengan mengambilkira SOP yang telah diwartakan. Dalam acara ringkas di Pusat Khidmat Adun Kadamaian pada Sabtu kelmarin, Jin Zhe menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Kelab Kebajikan Kadamaian, Shainim Epin dan penyelaras bantuan bencana banjir, Juin Kolod. Dalam acara yang sama, Ewon juga menyampaikan sumbangan touchpoint sebanyak RM5,000 untuk program kebajikan dan bakul makanan yang akan diselaraskan oleh PKR Kadamaian.
Commentaires