top of page

João Pedro penyerang baharu Sabah FC, ambil alih tugas Ramon Machado

  • nabalunews
  • Aug 20, 2024
  • 1 min read

20 Ogos 2024


KOTA KINABALU: Sabah FC hari ini mengumumkan penyerang import baharunya bagi memperkuatkan jentera serangan skuad The Rhinos sepanjang baki saingan Liga Super musim ini.


João Pedro Boeira Duarte, 24 tahun berasal dari Brazil mengikut kontrak bersama Sabah FC selama sembilan bulan bermula 15 Ogos 2024 hingga 30 April 2025.


Duarte dibawa masuk bagi mengisi slot perpindahan kedua Liga Malaysia musim 2024 / 2025 selepas menamatkan kontrak bersama Viettel FC di Liga Vietnam, Julai lalu.


Duarte menggantikan tempat Ramon Machado yang mengambil keputusan menamatkan kontrak lebih awal bersama Sabah pada Julai lalu.


Ketika beraksi untuk Viettel FC di Liga Vietnam, Duarte menjaringkan 2 gol dalam 12 perlawanan.


Menerusi kenyataan dikeluarkan pengurusan Sabah FC hari ini, skuad The Rhinos adalah destinasi kedua beliau di Asia Tenggara selepas Viettel yang disertainya sejak Mac lalu.


“Kehadiran beliau diharap dapat membantu jentera serangan Sabah FC selepas Ramon Machado memilih untuk menamatkan kontrak lebih awal bersama Sabah FC,” kata kenyataan itu.


Duarte menandatangani kontrak bersama Sabah FC di hadapan Pengurus Besar pasukan, Mohd Joh Wid, hari ini.


Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya mengumumkan kelulusan pengurusan tertinggi badan sukan bola sepak Sabah itu untuk menambah seorang pemain import.


Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendengar laporan yang dikemukakan Sabah FC mengenai keperluan mengambil penyerang import.


Katanya, usaha memperkuatkan Sabah FC juga mengambil kira saranan penyokong Sabah FC dan peminat bola sepak Sabah keseluruhannya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page