Jual mercun tanpa kebenaran
- nabalunews
- Mar 4
- 1 min read

3 Mac 2025
TAWAU: Dua lelaki ditahan selepas dikesan menjalankan aktiviti menjual mercun tanpa kebenaran di kawasan Pusat Komersial Ba Zhong, di sini, semalam.
Kedua-dua lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 2 petang bersama 60 kotak mercun dipercayai cuba dijual kepada orang awam di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti penjualan mercun di kawasan berkenaan.
Susulan itu latanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau terus digerakkan untuk menjalankan siasatan di kawasan kaki lima Pusat Komersial Ba Zhong.
“Pasukan polis mendapati terdapat dua lelaki tempatan berusia 26 dan 40 tahun sedang menjalankan aktiviti menjual mercun di lokasi berkenaan.
“Polis turut menemui 60 kotak mengandungi mercun dipercayai cuba dijual tanpa lesen dan kebenaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit bersama barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Commentaires