top of page

Jualan Rahmah Madani ringankan beban keluarga sambut Krismas

nabalunews

16 Disember 2024


PAPAR : Usaha kerajaan untuk membantu meringankan beban masyarakat yang akan menyambut Krismas tidak lama lagi diteruskan melalui jualan barangan keperluan harian dengan harga lebih murah dalam Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas yang diadakan di Gereja Saint (St) Augustine, Kinarut.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, PJRM itu adalah bagi membantu keluarga terutama mereka yang bakal menyambut Krismas pada hujung bulan ini.


"PJRM ini diadakan untuk membantu masyarakat sekitar mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.


"Terutamanya bagi mereka yang sedang membuat persiapan untuk menyambut perayaan Hari Natal tidak lama lagi," katanya kepada media selepas menghadiri program itu pada Sabtu.


Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, istimewanya juga program kali ini apabila Petronas melalui Yayasan Petronas sudi memberikan sumbangan kepada 200 keluarga di bawah kawasan parlimennya.


"Sumbangan berupa barangan keperluan harian ini sedikit sebanyak membantu penerima membuat persiapan menjelang perayaan Natal nanti.


"Sumbangan hari ini juga merupakan sebahagian daripada keseluruhan 11,850 keluarga dari seluruh Malaysia yang telah disantuni oleh Petronas melalui Program Memacu Kehidupan 2024 ketika sambutan perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai, Kaamatan, Deepavali, dan kini perayaan Krismas," katanya.


Beliau turut berkata, sebagai makluman, Yayasan Petronas merupakan cabang impak sosial Petronas yang mempunyai tiga fokus utama iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti dan alam sekitar


"Pelbagai program dilaksanakan oleh Yayasan Petronas ini sebagai usaha membantu memberikan kesejahteraan, kelestarian dan pembangunan kepada masyarakat.


"Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Petronas atas sumbangan yang diberikan sekali gus menyokong dalam menjayakan inisiatif Ihsan Rahmah Madani," katanya.

Comments


bottom of page