Jualan Rahmah tarik 9.2 juta pengunjung tahun lepas, sasar dua kali sebulan tahun ini

4 April 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
MARAN: Program Jualan Rahmah (PJR) yang bertujuan untuk menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan telah menarik 9.2 juta pengunjung di seluruh negara pada tahun lepas.
Program ini melibatkan 222 kawasan Parlimen dan 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah program sebanyak 6,870.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata program ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu PJR di dalam premis, PJR di luar premis, dan PJR bergerak.
"Daripada jumlah itu (6,870 program), sebanyak 3,053 PJR di dalam premis, 685 PJR di luar premis dan sebanyak 3,132 melibatkan Program Jualan Rahmah Bergerak, "katanya kepada media selepas sesi walkabout Karnival Jualan Rahmah Madani Pahang di Dataran Anjung Pusat Bandar Jengka, di sini semalam.
Beliau turut menyatakan bahawa program ini akan diteruskan pada tahun ini dengan sasaran minimum dua kali sebulan bagi setiap kawasan Parlimen.
"Bagi tahun ini, kita menyasarkan untuk mengadakan PJR secara berterusan dengan minimum dua kali sebulan bagi setiap kawasan Parlimen tetapi tidak mustahil lebih dari dua kali jika sambutan menggalakkan."
Selain itu, beliau juga berkata PJR tahun ini turut dimeriahkan dengan Jualan Rahmah Back To School yang bermula 2 hingga 3 Mac di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara. Program ini menawarkan kelengkapan persekolahan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding di pasaran.
Beliau berharap program ini dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup dan menikmati barangan berkualiti pada harga berpatutan.
Comments