- Wartawan Nabalu News
Jumlah penduduk terima vaksin lengkap meningkat, jangkitan baharu terkawal

7 April 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah jangkitan baharu semakin rendah dan terkawal sedikit sebanyak disebabkan peningkatan peratusan jumlah penduduk yang lengkap vaksin.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, walaupun jangkitan sporadik kekal tinggi iaitu 67 peratus hari ini namun jumlah jangkitan harian semakin terkawal.
Beliau berkata, ini kerana keberkesanan perlindungan vaksin serta tahap pematuhan yang baik di kalangan masyarakat ke atas semua prosedur operasi standard (SOP).
"Secara keseluruhannya jumlah jangkitan baharu hari ini tidak banyak berubah daripada semalam.
“Sabah mencatatkan kes baharu sebanyak 176 kes menurun 12 kes berbanding semalam dan satu kes kematian dilaporkan di Sandakan.
“Daripada jumlah keseluruhan jangkitan baharu, 172 orang dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala empat pesakit dalam Kategori 3 dan tiada pesakit dalam Kategori 4 dan Kategori 5,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 165 orang (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 353,463 orang.
“Manakala 290 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 273 orang di hospital, 16 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan satu orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 25 orang merangkumi 23 di ICU/repurposed kritikal care serta dua di open ward (HDW/kubikel akut) dan 10 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.