JUNZ: AMBIL IKTIBAR DARI THAILAND, LANJUTKAN MORATORIUM
20 OKTOBER 2020
KOTA KINABALU: Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong pada menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah melanjutkan tempoh moratorium.
"Kerajaan Malaysia harus mengambil iktibar dari Thailand yang baru-baru ini telah melanjutkan tempoh moratorium sehingga Jun 2021. Kami bukan minta hutang dibatalkan. Kami cuma minta ianya ditangguh."
"Institusi-institusi kewangan dan kerajaan tidak rugi satu sen. Faedah dan bunga masih sedang jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau juga menjelaskan keperluan melanjutkan moratorium.
"Sabah mencatat ratusan kes baru setiap hari, iaitu 489 kes (Jumaat), 451 kes (Sabtu), 702 kes baharu (Ahad) dan 643 kes baharu pada hari Isnin.
"Sabah bukan sahaja mempunyai kes aktif paling banyak di Malaysia tetapi juga mencatatkan kes kematian terbanyak di Malaysia!"
"Keadaan tidak selamat. Kerajaan enggan bantu, sebaliknya suruh rakyat bekerja dan rakyat tiada pilihan kecuali keluar dan merisikokan nyawa demi mencari wang,” katanya.
Junz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Aru berkata, masalah-masalah itu mampu diselesaikan jika moratorum dilanjutkan.
"Memangpun semakin ramai telah kembali bekerja seperti yang diminta. Tapi hasilnya bukan seperti yang dirancang.
"Semakin ramai hilang perkerjaan, semakin tinggi kadar pengangguran. Ekonomi gagal pulih. Bilangan kes aktif dan kes mati terus menambah,” katanya.
Katanya lagi: “Kita bakal berhadapan bukan sahaja krisis ekonomi, tetapi juga krisis kesihatan”.
"Jadi apa yang harus dibuat oleh kerajaan adalah melanjutkan moratorium, agar orang ramai dapat bernafas, khususnya golongan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya.
Comentarios