top of page

Justin Wong gesa Speaker DUN letak jawatan

  • nabalunews
  • Mar 11
  • 1 min read


11 Mac 2025


TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong, hari ini menggesa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, untuk meletak jawatan.


Katanya, tindakan itu perlu, tidak kira samada Kadzim terlibat atau tidak dengan dakwaan menerima rasuah sebanyak RM350,000 seperti yang terkandung dalam rakaman video yang dimuatkan sebuah portal, semalam.


Katanya, langkah itu penting bagi mempertahankan prinsip pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif, dan kehakiman yang merupakan asas untuk mengelakkan rasuah daripada berleluasa, kerana tiada satu pihak yang seharusnya memiliki kuasa mutlak.


"Speaker adalah pemimpin dan pengawal perjalanan sidang dewan. Namun, pendedahan perbualan yang menunjukkan beliau terlibat dalam urusan perniagaan menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan penyalahgunaan kuasa.


“Ini boleh mencemarkan kredibiliti sistem pemisahan kuasa,” katanya.


Menurutnya, perkara itu perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.


Namun katanya, demi menjaga integriti institusi perundangan, individu yang berdepan tuduhan seperti ini, sewajarnya berundur secara terhormat.

Justin berkata, skandal rasuah yang berlaku ini menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai samada wakil rakyat yang dipilih benar-benar berkhidmat untuk rakyat atau lebih mengutamakan kepentingan peribadi.


"Jika seorang wakil rakyat yang terpalit dengan skandal rasuah masih boleh mengekalkan jawatan, bagaimana rakyat boleh percaya kepada kerajaan? Adakah kerajaan Sabah mengamalkan dasar ‘pemimpin boleh buat sesuka hati, tetapi rakyat tidak boleh bersuara’?,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page