Kabinet Negeri setuju cadangan pinda perlembagaan negeri had tempoh ketua menteri
22 Mac 2022
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Kabinet Negeri bersetuju cadangan untuk meminda Perlembagaan Negeri bagi membolehkan had pelantikan Ketua Menteri kepada dua penggal.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, pada dasarnya Jemaah Kabinet telah meluluskan cadangan itu dan akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan datang sekiranya dipersetujui semua ahli dewan.
“Sekiranya semua YB di Dewan ini bersetuju menyokong cadangan ini, kita akan bawa perkara ini ke mesyuarat atau persidangan DUN negeri akan datang untuk tujuan meminda perlembagaan kerajaan negeri.
“Sebenarnya cadangan ini memang baik. Kalau kita lihat di peringkat persekutuan juga sudah ada cadangan untuk menghadkan tempoh pelantikan Perdana Menteri.
“Kalau kita lihat di ngara-negara barat yang maju seperti di Amerika Syarikat dan negara-negara barat yang lain juga menghadkan tempoh pelantikan Presiden dan Perdana Menteri mereka masing-masing,” katanya pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick yang bertanya adakah kerajaan negeri bercadang untuk meminda Perlembagaan Negeri bagi membolehkan had pelantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.
Abidin berkata, sekiranya semua bersetuju dengan cadangan itu, pihaknya akan membawanya ke persidangan DUN negeri akan datang.
Sementara itu Adun Usukan Datuk Salleh Tun Said bertanya sama ada kerajaan telah membuat kajian sebelum meluluskannya cadangan itu.
Abidin berkata, Jemaah kabinet telah meluluskan pada dasarnya cadagan itu.
“Jadi sokongan semua wakil rakyat diperlukan, sekiranya sokongan itu tidak ada, ini tidak dapat direalisasikan.
Comentários