top of page
Wartawan Nabalu News

Kabinet setuju laporan siasatan tragedi Double Six didedah kepada umum - Anwar



5 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kabinet bersetuju laporan siasatan tragedi Double Six yang mengorbankan 11 nyawa termasuk lima menteri Kabinet Sabah pada tahun 1976, didedahkan kepada umum.


Beliau berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pandangan rakyat Sabah dan juga tuntutan keluarga waris yang ingin mengetahui maklumat terperinci mengenai kejadian itu.


Katanya, langkah itu juga selaras dengan dasar keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan kerajaan perpaduan yang dipimpinnya.


“Pada hari ini jemaah Menteri mengambil kira pandangan yang dikemukkan oleh rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan juga tuntutan yang dibuat oleh keluarga waris yang ingin mengetahui maklumat terperinci dan ianya selari atau tuntas dengan dasar keterbukaan dan transparansi yang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu sidang media khas hari ini.


Turut hadir dua menteri dari Sabah, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.


Laporan siasatan kemalangan udara pesawat Sabah Air telah dirahsiakan selama 47 tahun di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.


“Oleh demikian, kita memutuskan bahawa laporan akhir siasatan kemalangan udara pesawat Sabah Air 6 June 1976 akan diturun taraf menjadi ‘declassified’.


“Semua maklumat itu akan kemudian di perkenalkan dihebahkan melalui kenyataan rasmi kerajaan dan juga kementerian pengangkutan,” katanya.


Tragedi yang juga dikenali sebagai Double Six Crash atau Double Six Tragedy itu telah meragut nyawa 11 orang termasuk Ketua Menteri ketika itu, Tun Fuad Stephens.


Pesawat jenis GAF N-22B Nomad yang membawa Tun Fuad dan rombongannya dari Labuan ke Kota Kinabalu terhempas di kawasan Sembulan sebelum sampai ke lapangan terbang.


Anwar berkata, laporan siasatan itu akan dibuka sepenuhnya dalam masa seminggu tetapi beberapa penemuan penting mungkin akan diumumkan dalam beberapa hari.


Beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menghargai sumbangan mereka kepada pembangunan Sabah.

Comments


bottom of page