top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kadar subsidi padi dinaikkan, naik kepada RM500 per metrik tan – Anwar


8 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PARIT BUNTAR: Kerajaan Perpaduan telah mengumumkan peningkatan kadar subsidi padi daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa esok.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan peningkatan subsidi ini, pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per metrik tan dan secara langsung akan meningkatkan pendapatan pesawah serta memberi motivasi kepada pesawah untuk meningkatkan pengeluaran.


“Kerajaan Perpaduan akan terus membela nasib pesawah di seluruh negara melalui penyaluran pelbagai bantuan,” beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sentuhan Agro MADANI peringkat Negeri Perak di Parit Buntar pagi tadi.


Dalam majlis tersebut, Anwar turut menyampaikan bantuan berjumlah RM21.8 juta yang memanfaatkan 28,295 orang pesawah dan peladang di negeri Perak.


Bantuan-bantuan yang disampaikan adalah di bawah Program Pemerkasaan Usahawan Peladang (Rise-UP), Program Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana Secara Geran Padanan, Program Agriprentice, Dana Tabung Hijrah Agrobank, Bantuan Khas Sumbangan Tunai Pesawah dan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah.


“Kerajaan Perpaduan telah mengumumkan pemberian subsidi dan insentif berjumlah RM1.6 bilion pada tahun 2023.


“Sejumlah RM60 juta turut diagihkan kepada pesawah melalui bantuan khas sumbangan BERNAS. Di samping itu, BERNAS turut bersetuju mengagihkan 30% daripada keuntungan bersih import beras kepada pesawah.


“Kerajaan turut menyalurkan bantuan tunai kepada pesawah sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim dan tambahan RM200 bagi Bantuan Khas Aidilfitri,” katanya.



bottom of page