top of page

Kalau Kerajaan PN berhempas pulas, kenapa kes Covid naik mendadak, Ordinan Darurat gagal - Ewon

Writer: Marryan RazanMarryan Razan


13 Ogos 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick membidas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhempas pulas menangani pandemik Covid-19.


Beliau yang Naib Presiden UPKO berkata, ini kerana Proklamasi dan Ordinan Darurat yang bertujuan untuk menangani pandemik itu gagal membendung wabak Covid-19.


“Kalau betul mereka berhempas pulas, kes tidak sampai ke tahap ini, jumlah kematian tidak ke jumlah ini, sistem dan jentera kesihatan tidak kritikal ke tahap ini.


“Kalau betul mereka berhempas pulas, kenapa Proklamasi dan Ordinan Darurat itu gagal menangani dan menyelesaikan pandemik Covid-19 ini? Sedangkan anda juga yang mengatakan tujuan Darurat adalah untuk menangani pandemik Covid-19.


“Kalau betul anda berhempas pulas, kenapa ekonomi rakyat terus merudum, banyak yang terus kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan, ramai yang merasa terpinggir daripada program bantuan?,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas perutusan khas Perdana Menteri petang tadi.


Dalam perutusan itu Muhyiddin menyatakan bahawa ketika kerajaan PN berhempas pulas menangani pandemik Covid-19, beberapa Ahli Parlimen telah menarik sokongan menyebabkan keabsahan kerajaan diragui termasuk kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.


Ewon berkata, rakyat mengibarkan bendera putih untuk mendapatkan bantuan daripada rakyat kerana tidak mendapat bantuan daripada kerajaan.


“Kalau betul anda (kerajaan) telah berhempas pulas, kenapa doktor-doktor perlu menunjuk perasaan? Kenapa rakyat terpaksa turun ke dataran menyuarakan kekecewaan dan kemarahan mereka?


“Kalau betul anda telah berhempas pulas, kenapa benarkan anggota-anggota kabinet dan sekutu-sekutu anda melanggar SOP dan membuat jenaka tidak ber-empathy kepada rakyat, tetapi menangkap dan mendenda rakyat yang menegur SOP atau menegur kepimpinan kamu?


“Kalau betul anda berhempas pulas mengurus pandemik Covid-19, kenapa derhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja?,” katanya.


Ewon berkata, ia menunjukkan kegagalan Perdana Menteri. “Kita perlukan seorang Perdana Menteri yang lebih kompeten dan ada ‘leadership’ untuk mengurus krisis-krisis ini”.


Beliau turut mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat dan memberi laluan kepada Perdana Menteri yang lebih berkepimpinan.


Ewon turut mempersoalkan kenapa Muhyiddin menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja supaya Parlimen dibuka bagi membahaskan penyelesaian kepada pandemik Covid-19 termasuk Proklamasi dan Ordinan Darurat.


Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah mengeluarkan kenyataan pada Jun lepas supaya Parlimen segera bersidang untuk mencari penyelesaian kepada pandemik Covid-19.


Bagaimanapun, Muhyiddin hanya memanggil mesyuarat khas Parlimen lewat bulan Julai selepas beberapa kali ditegur oleh Yang di-Pertuan Agong.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page