top of page

Kanak-Kanak Maut Dirempuh Kereta

  • nabalunews
  • Jun 23
  • 1 min read

23 Jun 2025


KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak maut manakala adik sepupunya parah selepas dirempuh kereta dalam kejadian di Jalan Tun Fuad Stephen, berhampiran Teluk Likas, di sini, hari ini.


Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, mangsa Nur Syahirah Syakillah Anuar, 12, dan sepupunya berusia tujuh tahun dikatakan cuba melintas jalan untuk membeli makanan di kawasan Anjung Selera, Likas, di sini.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun.

Katanya, kereta berkenaan bergerak di lorong kanan dari arah Sepanggar menuju ke Likas, sebelum kedua-dua mangsa dipercayai melintas secara tiba-tiba.


"Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi kanak-kanak mengalami kecederaan parah di kepala.


“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Zon Kecemasan Hospital Likas dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses bedah siasat.


"Pemandu tidak mengalami kecederaan dan tidak disyaki di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Namun sampel darah telah diambil untuk analisis toksikologi di Jabatan Kimia.


"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Kasim berkata polis menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat.


“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor, Inspektor Brymenedren Godon di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi membantu siasatan.


"Polis turut menasihatkan ibu bapa serta penjaga supaya sentiasa memastikan keselamatan anak-anak ketika melintas jalan, terutama di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan lintasan selamat," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page