top of page
nabalunews

Kanak-Kanak Perempuan 10 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Kadamaian

7 Disember 2024


KOTA BELUD: Kegembiraan sekumpulan kanak-kanak mandi manda di Sungai Kadamaian, berhampiran Tamu Sosondoton View, Kampung Piasau, Kota Belud hari ini, bertukar tragedi apabila seorang daripadanya, kanak-kanak perempuan berusia sepuluh tahun dikenali Lysabeth Fharelynne Tom Jones, hilang, dikhuatiri lemas.


Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.20 petang dan kini operasi mencari sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa.


Menurut laporan awal, mangsa yang berusia 10 tahun tinggal bersama neneknya di kampung Piasau dan insiden malang itu dilaporkan selepas tiga saksi iaitu kanak-kanak lelaki yang berada di lokasi kejadian, memaklumkan penduduk sekitar.


Mangsa sebelum itu dilaporkan ke sungai berkenaan yang terletak berhampiran rumah mereka pada jam 8 pagi.


Pada waktu tengah hari, Lysabeth ditemani tiga rakannya, Ferez (11 tahun), Ricky (11 tahun), dan Pirince (9 tahun), bermain dan mandi di sungai.


Setelah 20 minit berada di dalam air, mangsa dilihat berenang ke bahagian tengah sungai sebelum mula tenggelam dan terkapai-kapai meminta pertolongan.


Ketiga-tiga saksi yang ketakutan, tidak dapat membantu dan segera melarikan diri ke tepi sungai sebelum memaklumkan insiden itu kepada penduduk kampung.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.41 petang.


Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.


“Sebaik tiba, pasukan bomba mengambil maklumat dan difahamkan mangsa melakukan aktiviti mandi mandi di sungai berkenaan sebelum dikatakan lemas.


“Pasukan operasi terus menjalankan operasi di sekitar sungai berkenaan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, sehingga kini mangsa masih belum ditemukan dan operasi pencarian terus dijalankan.


Selain bomba, pelbagai agensi keselamatan kini dikerah dalam operasi pencarian mangsa.


Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Belud menghantar 2 pegawai kanan dan 7 anggota dengan bantuan kenderaan pacuan empat roda dan bot.


Kes ini mencetuskan peringatan kepada masyarakat setempat agar meningkatkan pengawasan terhadap kanak-kanak, terutama ketika mereka berada di kawasan berisiko seperti sungai.


Operasi mencari mangsa masih diteruskan, dan perkembangan lanjut akan dilaporkan dari semasa ke semasa.

Kommentare


bottom of page