KAPAL KUMPIT INDONESIA, FILIPINA DIBENAR MASUK ESSZONE MULAI 5 MAC KAPAL KUMPIT INDONESIA, FILIPINA DIBENAR MASUK ESSZONE MULAI 5 MAC
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KAPAL KUMPIT INDONESIA, FILIPINA DIBENAR MASUK ESSZONE MULAI 5 MAC


Gambar sekadar hiasan

2 Mac 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersetuju membenarkan kapal-kapal Non-Convention Ship (NCS)/ kumpit Indonesia dan Filipina memasuki perairan ESSZONE dan semua kapal NCS Malaysia dari perairan ESSZONE ke Filipina dan Indonesia bagi aktiviti 'barter trade' dan 'transhipment' bermula 5 Mac ini (Jumaat).


Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian dan pertimbangan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri melalui Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Sabah yang bermesyuarat hari ini (2 Mac).



Bagaimanapun beliau mengingatkan semua pemain ekonomi dalam sektor itu supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan wujudnya kluster-kluster baharu.


"Antara SOP yang ditetapkan ialah semua kru kapal bebas daripada jangkitan Covid-19; tidak dibenarkan turun ke daratan dan proses pemunggahan hendaklah dilakukan oleh syarikat tempatan.


"Semua kapal yang masuk dan keluar hendaklah melalui 'designated road' yang telah ditetapkan dan mematuhi SOP, peraturan serta perundangan yang sedang berkuatkuasa.


"Adalah diharapkan dengan kebenaran ini, para peniaga dan pengusaha terlibat dalam ekonomi barter trade dan transhipment dapat kembali bangkit dan menyumbang kepada ekonomi negeri Sabah," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.



Hajiji berkata, aktiviti barter trade dan transhipment merupakan salah satu aktiviti yang menyumbang kepada ekonomi negeri ini.


Beliau berkata, penggunaan kapal NCS/ kumpit bagi aktiviti ekonomi barter trade dan transhipment digantung seketika sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh Sabah pada 13 Oktober 2020, bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 dari luar negara.


"Dalam tempoh ini hanya kapal Convention Ship sahaja dibenarkan untuk meneruskan aktiviti perniagaan di bawah aktivit transhipment.


"Bagaimanapun para peniaga yang terlibat dalam aktiviti ekonomi ini berdepan kesukaran menggunakan kapal Convention Ship bagi aktiviti ini memandangkan pelabuhan-pelabuhan di Selatan Filipina tidak mempunyai kemudahan untuk kapal-kapal Convention Ship," katanya.



bottom of page