Kapten kapal terbalik hilang dikhuatiri lemas
- nabalunews
- Jan 28
- 2 min read

28 Januari 2025
LABUAN: Seorang kapten dikhuatiri lemas selepas hilang apabila kapal kargo yang dinaikinya bersama enam kru terbalik dalam kejadian kira-kira 1.8 batu nautika, Tanjung Perapat, Lawas, semalam.
Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuching dilaporkan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) namun masih gagal menemui mangsa.
Difahamkan, enam lagi kru berjaya menyelamat diri menggunakan rakit penyelamat sebelum ditemui bot nelayan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Labuan, Kepten Izwanhadi Idros berkata, susulan insiden itu, pihaknya mengerahkan dua aset untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.
Katanya, aset yang terlibat iaitu Kapal Maritim Bestari (KM Bestari) dan Bot Petir 90 berjaya sampai di lokasi kira-kira jam 6.30 pagi.
“Setibanya di lokasi, KM Bestari berjaya menemui kapal kargo Salim Enam dalam keadaan terbalik.

“Enam awak-awak kapal kargo berkenaan berjaya menyelamatkan diri melalui rakit penyelamat sebelum ditemui oleh bot nelayan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Izwanhadi berkata, KM Bestari kemudian menyelamatkan semua enam kru terbabit dan dibawa ke Labuan untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, sehingga kini, kapten kapal terlibat masih hilang dan dikhuatiri mungkin terperangkap di dalam kapal berkenaan.
Katanya, operasi mencari mangsa masih diteruskan melibatkan bantuan pasukan menyelam dari MRSC Kuching dan Sabah di sekitar lokasi kejadian.
“Dua daripada enam mangsa yang selamat mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Labuan untuk rawatan lanjut.
“Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan oleh pihak Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia.
“Bagaimanapun, kita dimaklumkan keadaan cuaca sangat teruk dengan angin ribut pada petang semalam,” katanya.
Menurutnya, kapten kapal kargo dan semua kru yang berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun itu dikenalpasti sebagai warga Indonesia.
Comments