- nabalunews
Karnival Pendidikan Aspirasi, Komunikasi dan Digital Belia Sabah di SICC Kota Kinabalu 2 Ogos ini
30 Julai 2024
KOTA KINABALU: Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini, Sabah Education Technology 2024 akan menganjurkan Karnival Pendidikan Aspirasi, Komunikasi dan Digital Belia Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu bermula 2 Ogos hingga 4 Ogos ini.
Pengerusi Pelaksana Program, Munirah Ruslan berkata Karnival Pendidikan ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pengunjung khususnya golongan belia mengenai aspek pendidikan dan kerjaya serta pilihan mengikut keutamaan dan kesesuaian individu.
"Ini kerana permulaan fasa baharu belia memerlukan bimbingan, perkongsian pengalaman dan penerokaan maklumat yang lebih mendalam mengenai hala tuju masing-masing khususnya selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Munirah pengisian karnival berkenaan juga membuka peluang kepada pengunjung untuk memperluaskan pengetahuan mengenai institusi pendidikan yang boleh diteroka lebih jauh selain memberi motivasi serta pemangkin semangat kepada pelajar-pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
"Dengan ini, memudahkan pelajar lepasan SPM dan STPM untuk memilih bidang dan kursus yang ditawarkan bersesuaian dengan kebolehan dan kemahiran mereka.
"Selain itu, penganjuran karnival ini juga dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat agar peka mengenai inisiatif strategik negara untuk menggalakkan dan menarik syarikat, bakat dan pelaburan di samping menggalakkan syarikat-syarikat di Malaysia serta rakyat memainkan peranan utama dalam revolusi digital dan ekonomi digital global," katanya.
Munirah berkata pengalaman seperti ini dapat mempertingkatkan motivasi dan semangat pelajar dan belia selain dapat meringankan beban ibu bapa dalam kalangan B40 yang kurang berkemampuan.
"Secara tidak langsung dapat memberi inspirasi serta galakan secara fizikal dan mental kepada pelajar sekolah dan belia.
"Pengunjung juga bakal didedahkan dengan pelbagai peluang menyertai Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) atau Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dilaksanakan oleh beberapa kementerian serta agensi yang berkaitan bagi memberi fokus kepada pembangunan modal insan dan membantu belia serta graduan untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehan pasaran mengikut keperluan industri.
"Semua ini penting bagi memanfaatkan perkembangan dan kemajuan dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) khususnya di bawah inisiatif MCMC yang membantu usahawan ke arah pendigitalan yang berinovatif dan berdaya saing, terutamanya masyarakat di luar bandar," katanya.
Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital, iaitu Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang menerajui transformasi ekonomi digital kini memperkasakan program tingkatkan kemahiran digital bersama rakan kongsinya dibawah Direktori Latihan Kemahiran Digital.
Kumpulan sasaran Karnival Pendidikan ini adalah pelajar Tingkatan Lima, Tingkat Enam Atas (Calon SPM/STPM), IPTA/IPS, IKS dan orang awam. Sasaran pengunjung dalam tempoh tiga hari lebih kurang 10,000 orang.
Turut diadakan Pelancaran Program Jelajah Saya Digital (JSD) Sabah 2024 oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Sdn Bhd.
Penutupan karnival ini dijangka disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif.
Kommentare