Karnival Sukaneka Kampung Sim-Sim 2024 Mengeratkan Perpaduan Komuniti
16 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Lebih 200 penduduk Kampung Sim-Sim menyertai Karnival Sukaneka Kampung Sim-Sim 2024 yang mengeratkan perpaduan komuniti melalui sukan dan kebudayaan sempena sambutan Hari Malaysia yang diadakan pada Sabtu.
Program anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat dan komuniti Kampung Sim-Sim itu juga bertujuan memperkukuhkan perpaduan masyarakat setempat.
Pada sebelah malam, turut diadakan Malam Gala Karnival yang juga diadakan di Gelanggang Futsal Kampung Sim-Sim dengan persembahan menarik termasuk pertandingan ratu cantik, cabutan bertuah, serta pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Hiasan Pondok Malam yang telah berlangsung pada 7 September lalu.
Ia menyaksikan Kategori Pondok Rancangan Rumah Murah dan Flat Sim Sim, juara dimenangi oleh Lorong C, naib juara oleh Lorong H dan tempat ketiga dimenangi oleh Yii Villa Apartments.
Manakala bagi kategori pondok Kampung Sim-Sim, juara dimenangi Jambatan 8, naib juara oleh Jambatan 11 dan ketiga dimenangi oleh Jambatan 14.
Kesemua juara, tempat dan ketiga masing menerima RM1,000, RM600 dan RM300.
Sementara semua penyertaan yang tidak berjaya mendapat tempat utama turut menerima sagu hati sebanyak RM100 sebagai penghargaan atas semangat dan komitmen mereka.
Majlis berkenaan disempurnakan ADUN Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung dan turut dihadiri Setiausaha ADUN Tanjong Papat merangkap Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd, Liau Fui Fui, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjong Papat, Max Million Lee, Pengerusi Penganjur, serta beberapa pemimpin tempatan termasuk Ketua Kampung Sim-Sim, Abdul Lasaid Abrahim dan Pengerusi JKKK Arbani Lakahi.
Dalam ucapan beliau, Frankie menekankan kepentingan perpaduan komuniti dan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan dan permainan tradisional.Â
Manakala komitmen penduduk dalam menghias jambatan dan kawasan perumahan dengan kerjasama semasa jiran juga sangat dihargai dalam memupuk kebersamaan selain semangat cintakan negara dengan tema yang dibawakan iaitu Malaysia Madani, Jiwa Merdeka.
'Karnival ini bukan sahaja meraikan semangat Hari Malaysia, tetapi juga menyediakan platform untuk komuniti Kampung Sim-Sim memperkukuhkan perpaduan dan menikmati aktiviti sukan dan budaya," jelasnya.
"Saya berharap agar karnival ini akan terus diadakan setiap tahun, sebagai simbol persahabatan dan kerjasama dalam komuniti kita," tambahnya.
Sementara Fui Fui menyatakan beliau amat berbangga dengan usaha dan dedikasi yang ditunjukkan oleh masyarakat Kampung Sim-Sim dalam menjayakan karnival ini.Â
Katanya, program ini telah berjaya memperlihatkan semangat kerjasama yang luar biasa dalam kalangan penduduk setempat pelbagai latar dan umur.
Manakala pihak penganjur juga berharap karnival ini dapat menjadi acara tahunan yang terus mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat sambil menggalakkan kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental.
Kommentare