Kastam Sabah tahan 7 individu disyaki seludup rokok dan minuman keras bernilai RM1.044 juta
17 September 2024
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah terus komited dalam membanteras aktiviti jenayah melibatkan penyeludupan termasuk dadah di negeri itu.
Operasi berterusan JKDM Sabah berjaya menahan tujuh individu yang membawa kepada rampasan barangan larangan seperti minuman keras dan rokok pelbagai jenama serta tembakau bernilai RM1.044 juta termasuk duti dan cukai baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, tujuh individu yang ditahan membabitkan warga tempatan berusia 19 hingga 53 tahun.
Mereka ditahan di Penampang, Tamparuli, Tawau dan Semporna antara 29 Ogos sehingga 11 September lalu.
Katanya dalam operasi berkenaan, pihak JKDM Sabah juga berjaya merampas 555.60 liter minuman keras dan 146,560 batang rokok pelbagai jenis dan 1,600 gram tembakau.
Semua barang rampasan berkenaan dianggarkan bernilai RM183,086.92 manakala jumlah duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM861,836.90
Selain itu, sehingga Ogos lalu, bahagian penguatkuasaan JKDM Sabah juga mencatat kejayaan dalam memerangi penyeludupan dadah dan ketum
Siti berkata, bagi rampasan dadah, JKDM berjaya merekodkan 163 kes dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM440,027.26
"Usaha berterusan ini adalah bukti komitmen kami dalam menjaga keselamatan awam dan juga mengekang aktiviti penyeludupan yang melibatkan bahan-bahan ataupun barang-barang
larangan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Menara Kastam Sabah, di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kejayaan membabitkan kes narkotik, Siti berkata sehingga Ogos lalu, Cawangan Narkotik Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Sabah berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk ganja, ekstasi, ketamin, dan psilocybin atau cendawan halusinogen dalam 85 kes rampasan dengan anggaran nilai rampasan RM302,503.18
Katanya, JKDM Sabah juga berjaya memerangi penyeludupan bahan larangan dengan merampas kira-kira tiga tan daun dan serbuk ketum. 78 kes keseluruhan berkaitan ketum dengan anggaran nilai rampasan RM137,524.00 direkodkan.
Siti berkata bagi kes dadah, modus operandinya adalah menyimpan bahan terlarang itu di lokasi tersembunyi di dalam premis perniagaan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Bagi kes penyeludupan ketum pula adalah menggunakan perkhidmatan kurier dan perkhidmatan pengangkutan awam katanya.
Siti berkata aktiviti penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu katanya orang ramai diminta supaya memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.
"JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan," katanya.
Comments