KAWALAN SEMPADAN SARAWAK PERLU DIPERKETATKAN - TALIB

4 DIS 2020
KUCHING: Kawalan keselamatan di semua pintu masuk sempadan negeri Sarawak perlu diperketatkan untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip.
Beliau berkata isu pendatang haram bukan merupakan perkara baharu kerana sering terdapat usaha menceroboh negeri ini dilakukan golongan tersebut tetapi berjaya digagalkan pihak berkuasa.
Katanya, bagaimanapun, masih terdapat keperluan untuk memperbaiki dan meningkatkan proses kawalan kemasukan di sempadan agar masalah tersebut dapat dikawal secara efektif.
“Ia melibatkan kerjasama pihak imigresen serta polis dan banyak faktor yang harus ditangani. Sekiranya kita memilih untuk menutup sempadan kepada pendatang, itu boleh dilakukan tetapi bagaimana pula dengan mereka yang telah memasuki negeri ini tetapi masih belum keluar?
“Kita tidak tahu berapa ramai mereka di luar sana,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan ‘Program Merintis Kepimpinan Berintegriti’ anjuran Unit Integriti dan Ombudsman di sini hari ini.
Beliau berkata ketiadaan data mengenai pendatang tanpa izin dan lokasi mereka berada menjadi halangan dalam menangani masalah itu.
"Itulah sebabnya kita perlu memperhalusi proses dan rekod pendatang serta memperketat kawalan di perbatasan. Jika tidak, kita kembali seperti asal," katanya.
Talib berkata walaupun pendatang asing memasuki negara ini bagi mencari rezeki tetapi kehadiran mereka harus dilakukan secara sah dan berdaftar.
"Oleh itu, jika terdapat pendatang yang tinggal melebihi tempoh masa dan tidak mempunyai dokumen, mereka mesti dihantar pulang ke negara asal," katanya sambil menambah tindakan itu tidak bermakna Sarawak tidak melayan orang asing dengan baik tetapi hanya mengambil langkah berjaga-jaga demi kepentingan negara. – Bernama
Comments