KAWASAN BANJIR DAN TANAH RUNTUH DI KOTA MARUDU, KUDAT, PITAS DIPANTAU
13 JAN 2021
Oleh Zaphy Evan
KOTA MARUDU: Kerajaan Negeri akan terus memantau dan mengaktifkan bantuan kepada semua mangsa yang terjejas banjir dan tanah runtuh di kawasan Kota Marudu, Kudat dan Pitas.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Wetrom Bahanda berkata, sejak awal minggu ini, hujan lebat berterusan menyebabkan banjir dan tanah runtuh di kebanyakan kawasan daerah berkenaan.
"Oleh itu, pusat pemindahan mangsa banjir dibuka sejak Isnin. Sebagai pemimpin di kawasan ini, saya akan terus memantau keadaan ini dan membantu mangsa banjir," katanya ketika ditemui semasa sesi lawatan dan ziarah mangsa banjir di pusat pemindahan dan agihan bantuan sekitar Kota Marudu, kelmarin.
Wetrom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau berkata, masalah tanah runtuh yang berlaku di jalan utama Pitas juga telah diteliti dan usaha segera akan dilakukan bagi memastikan Pitas tidak terputus jaringan perhubungan akibat masalah itu.
"Mengenai kejadiah tanah runtuh di kawasan ini, saya akan melaporkannya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk penyelesaian segera.
"Saya yakin JKR bertindak pantas dan sentiasa siap siaga menghadapi sebarang kejadian tanah runtuh," katanya.
Wetrom berkata, bilik gerakan bencana alam di Kota Marudu juga diaktifkan bagi menerima sebarang aduan berkaitan.
"Bilik gerakan ini beroperasi 24jam dan semua anggota kita bertindak membantu mana-mana penduduk kampung sekitar yang memerlukan bantuan," katanya.
Comments