top of page

KBS perlu cari dana baharu kekalkan atlet tercicir - Steven Sim

Farah Salim


8 Jan 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) seharusnya mencari sumber kewangan baharu untuk membiayai pembangunan sukan dan mengekalkan atlet yang digugurkan daripada program latihan sukan kebangsaan, kata Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim.


Beliau mengambil contoh semasa pentadibiran Pakatan Harapan (PH), KBS berjaya mendapat persetujuan kabinet untuk menyalurkan RM30 juta dari hasil cukai gula bagi tujuan pembangunan sukan.


“Di bawah pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kini gabungan BN-PN, cabutan khas judi telah ditambah daripada lapan kali setahun menjadi 22 kali setahun bagi setiap syarikat.


“Justeru, cukai judi (gaming tax) yang sebahagiannya disalurkan kepada pembangunan sukan juga harus ditingkatkan. Ini sekurang-kurangnya dapat menjana antara RM50 hingga RM100 juta untuk pembangunan sukan.


“Kerajaan wajar memperkenalkan pelepasan cukai korporat untuk tajaan atlet, acara sukan dan pembangunan sukan secara am bagi menggalakkan sumbangan daripada pihak swasta. Saya telah beberapa kali membangkitkan cadangan ini di parlimen sejak Belanjawan 2021 lagi,” kata Steven yang juga Bekas timbalan menteri belia dan sukan.


Ujarnya, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail telah mendedahkan bahawa bukan setakat 144 orang atlet yang digugurkan daripada program latihan sukan kebangsaan tersebut, malah angka sebenar atlet yang dipecat ialah seramai 253 orang.


Tambah beliau, ini tidak termasuk atlet yang mengalami pemotongan elaun secara mendadak seperti atlet olahraga negara, Rayzam Shah Wan Sofian, yang mendakwa elaun latihannya dipotong daripada RM2,000 sebulan kepada hanya RM800 sebulan.


“Setakat ini, hanya Ketua Pengarah MSN itu sahaja yang berani berdepan media memberikan penjelasan tentang isu yang serius ini. Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu masih diam seribu bahasa.


“Isunya sekarang ialah kegagalan menteri mendapatkan peruntukan yang mencukupi sehingga berlakunya kemelut pemecatan beramai-ramai atlet negara,” katanya.


Steven juga mengemukakan beberapa cadangan untuk mengatasi kemelut tersebut dan diantara cadangan tersebut adalah memperkenalkan pelepasan cukai korporat untuk tajaan atlet, acara sukan dan pembangunan sukan secara am bagi menggalakkan sumbangan daripada pihak swasta.


Katanya, KBS juga patut memperluaskan lagi program TRACK yang diperkenalkan semasa pentadbiran PH. Melaluinya MSN menempatkan atlet bekerja secara masa anjal (flexi hour) di syarikat-syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


Selain itu Program MACE (Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia) juga harus diperkasakan untuk mewujudkan ekosistem kerjaya sukan serta pascakerjaya sukan yang lebih baik untuk para atlet.


“KBS juga harus meningkatkan keupayaan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) untuk memastikan semua bekas atlet negara mendapat perlindungan di bawah program kebajikan badan berkenaan.


“Sementara itu KBS dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan perlu melaksanakan strategi perbelanjaan berhemah seperti penjimatan melalui amalan tender terbuka, dan menghentikan budaya membiayai 'percutian sukan' untuk pegawai sama ada melibatkan pegawai menteri, penjawat awam mahupun pegawai persatuan sukan dengan alasan 'mengiringi' atlet ke temasya luar negara.


“KBS patut menggalakkan pembangunan kelab-kelab sukan profesional yang mampu mencungkil bakat sukan di samping menarik pelaburan swasta. Sebagai contoh, semasa pentadbiran PH, KBS berjaya mendapat persetujuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membenarkan pemain profesional bertanding mewakili negara,” katanya


Jelas beliau, ini membolehkan beberapa pemain kebangsaan menjadi pemain profesional yang dibiayai pihak swasta dan pada masa yang sama diberi peluang mewakili negara di temasya antarabangsa.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page