KBS Sabah harus sokong belia terlibat industri nyanyian

1 December 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Penglibatan para belia dalam bidang hiburan seperti nyanyian harus disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, kementerian tersebut perlu memberi sokongan atau dorongan dengan memberi bantuan yang bersesuaian kepada para belia yang terlibat dalam bidang itu.
Beliau berkata, melalui sokongan pihak kementerian bakat-bakat anak muda di negeri ini dalam bidang nyanyian atau hiburan dapat dikembangkan.
“Minggu lepas saya menerima satu jemputan daripada satu penganjur di mana mereka ini mahu memberi peluang kepada anak-anak muda mencipta lagu-lagu baharu untuk rakyat Sabah.
“Saya fikir itu satu idea yang baru, iaitu menambah lagu-lagu baharu kepada lagu-lagu sedia ada,” katanya ketika mencelah dengan izin semasa ucapan penggulungan Kementerian Belia dan Sukan pada persidangan dewan undangan negeri, kelmarin.
Ewon berpendapat selain sukan, ramai para belia di Sabah berminat dalam bidang nyanyian.
“Adakah, kementerian bersedia mendepani ataupun mengambil leadership, untuk memberi sokongan, dorongan ataupun bantuan yang bersesuaian supaya penganjur-penganjur dan anak-anak muda ini merasa mereka dihargai dan menjadi sebahagian daripada dasar kerajaan kita untuk mengangkat mereka dalam bidang yang mereka minat?,” katanya.
Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin berkata, kementeriannya mengambil maklum mengenai cadangan itu sebagai sokongan kepada golongan belia yang berminat dalam bidang hiburan.
Terdahulu itu ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Negeri Sabah 2023, beliau berkata, KBS akan terus menjalankan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sukan serta penginapan di 16 daerah di Sabah.
Beliau berkata, usaha itu akan dilakukan secara berfasa untuk kegunaan semua peringkat masyarakat dan atlet berprestasi tinggi.
"Kementerian juga akan mengemukakan permohonan dibawah program Pembangunan Rancangan Malaysia yang dibiayai oleh kerajaan negeri bagi penambahan kemudahan sukan di kompleks sukan sedia ada," katanya.
Ellron berkata, sehingga sekarang dewan berkenaan tidak dapat digunakan kerana mengalami banyak kerosakan.
“Bagaimanapun kementerian saya sudah pun memohon peruntukan kepada pihak Kementerian Kewangan Negeri untuk tujuan membaiki kerosakan-kerosakan tersebut,” katanya.
Comments