top of page
  • Wartawan Nabalu News

KDCA cawangan Kg Mininsalu terima sumbangan set gong, pakaian tradisi Dusun Liwan


13 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


RANAU: Cawangan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Kampung Mininsalu telah menerima sumbangan satu set gong dan sembilan set pakaian tradisi Dusun Liwan daripada Badan Penyelaras KDCA Ranau di kampung itu baru-baru ini.


Dalam majlis itu, Pengerusi Badan Penyelaras KDCA Ranau Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyerahkan sumbangan tersebut kepada kepada Pengerusi Cawangan KDCA Kampung Mininsalu, Philip Lakadsi.


Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berharap melalui sumbangan tersebut, usaha untuk mengembangkan budaya etnik Dusun Liwan dapat diturunkan kepada golongan muda.


Ini sekaligus dapat membina jati diri generasi muda untuk memelihara serta meneruskan kelangsungan adat dan tradisi Dusun Liwan.


“Inilah masanya untuk memperkenalkan produk-produk tradisi etnik Dusun Liwan seperti pakaian, makanan, kraftangan, hasil tani dan sebagainya,” katanya dalam satu majlis penyerahan sumbangan itu di balai raya kampung Mininsalu pada Sabtu.


Jelas beliau, misi KDCA adalah menjalinkan perpaduan yang harmoni dalam kepelbagaian sebagai asas penyatuan dan tempat menjalinkan kerjasama, penglibatan dan penyertaan multi-etnik Kadazandusun di dalam usaha kendiri bagi pengekalan dan pengembangan warisan kebudayaan sebagai asas pembangunan sosio-budaya, ekonomi dan politik yang berkekalan.



Comments


bottom of page