top of page
Wartawan Nabalu News

KDCA digesa dengar suara netizen, tambahbaik acara Kaamatan


10 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) menyeru pihak KDCA untuk mengambil kira pendapat netizen mengenai Pesta Kaamatan dan membuat penambahbaikan pada acara yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan KDCA.


Pengerusinya, Steve Johnny Mositun berkata, setiap tahun ada sahaja isu yang menjadi kontroversi dan pertikaian di kalangan netizen yang mengikuti Pesta Kaamatan melalui media sosial.


“Antara yang hangat diperkatakan tahun ini adalah mengenai soalan kepada seorang finalis pertandingan Unduk Ngadau, sehingga dikritik hebat oleh netizen.


“Turut dibangkitkan adalah mengenai pakaian tradisi ‘Abaya’, dipercayai dari salah satu suku kaum di daerah Ranau, yang tidak mendapat pengiktirafan sebagai salah satu pakaian tradisi yang layak dipertandingkan,” katanya.


Beliau juga menyatakan bahawa tender tapak berniaga (kanopi) yang dikatakan mahal oleh kebanyakan peniaga, keadaan kebersihan dan bau tandas, serta video-video yang menunjukkan anak muda sedang menari di atas meja dan mabuk, adalah antara perkara penting yang perlu dititik beratkan oleh pihak KDCA pada tahun hadapan.


Beliau bagaimanapun menyokong KDCA dalam menjelaskan bahawa acara minum-minum di luar kawasan KDCA bukanlah salah satu pengisian Kaamatan.


“Jawapannya ialah tidak sama sekali, acara minum-minum di luar kawasan KDCA bukanlah salah satu pengisian Kaamatan,” katanya.


“Pengisian acara Kaamatan hanya berlaku dalam dewan utama, bermula dari 24 hingga 31 Mei, dan di pentas luar dewan terbuka pada 30 dan 31 Mei. Antaranya seperti Hiis, Konsert Iscep, Sugandoi, Mr kaamatan, Unduk Ngadau, termasuklah persembahan kebudayaan yang lain,” jelasnya.


Tambah beliau, Majlis Belia KDCA bersedia untuk membantu dalam memperbaiki mutu penganjuran Pesta Kaamatan dan mengalu-alukan kerjasama daripada badan Penyelaras KDCA Daerah yang berminat.

Comments


bottom of page