• Wartawan Nabalu News

KEBENARAN AKTIVITI KEAGAMAAN DI GEREJA UNDANG REAKSI BERBEZA


(Dari kiri ke kanan) Jenny, Jennifer, Ollye dan Kim.

21 Feb 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kebenaran mengadakan aktiviti dan program di gereja termasuk misa kudus setiap Ahad mendapat reaksi yang berbeza daripada penganut agama Kristian.


Kebanyakan mereka gembira dan berterima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya memberi kebenaran untuk melaksanakan aktiviti dan program di rumah-rumah ibadat bukan Islam semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) setelah sekian lama tidak dibenar beroperasi ekoran Covid-19.



Bagaimanapun, terdapat penganut yang kurang bersetuju kerana menurut mereka belum sesuai buat masa ini untuk membenarkan aktiviti atau program di Gereja, memandangkan masih ada kluster-kluster baharu dilaporkan setiap hari.


Seorang penganut Katolik Kimsoi Lodunis menyambut baik pengumuman itu dan tidak sabar-sabar menghadiri misa kudus setiap Ahad di gereja.

Kimsoi

Ini kerana sepanjang tahun lalu dan sehingga kini, dia hanya mengikuti misa kudus melalui online di Youtube atau Facebook.


"Seperti yang kita tahu, bilangan umat dalam gereja pada satu-satu masa dihadkan kepada satu pertiga daripada kapasiti gereja. Ini bermakna bukan semua dapat hadir. Buat sementara waktu, saya memilih untuk mengikuti misa kudus secara online," katanya ketika dihubungi Nabalu News, hari ini.


Katanya lagi, dalam masa semua umat merasa bersyukur kerana akhirnya dapat sembahyang di gereja pada setiap Ahad, "kita jangan lupa, sebenarnya kita belum menang memerangi Covid-19".

"Sebab itu kita perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, iaitu jaga jarak, sentiasa pakai hand sanitizer dan pelitup muka," katanya.


Sementara itu Jennifer Ebit berpendapat, pembukaan gereja memang amat baik tetapi mengikuti misa setiap Ahad secara online di rumah adalah pilihan terbaik dan paling selamat pada ketika ini untuk mengelak jangkitan Covid-19.

Jennifer

"Walaupun kes jangkitan harian sekarang ini semakin menurun, namun kita lihat masih ada kluster-kluster baharu misalnya Kluster Jalan Pasar di Kota Belud kelmarin dan dua kluster di Donggongon melibatkan pekerja restoran, yang dilaporkan beberapa hari yang lalu," katanya.


Jennifer berkata, pembukaan gereja juga belum sesuai pada masa ini kerana, keseluruhan daerah di Sabah kebanyakannya masih dalam zon merah Covid-19.


"Bukan gereja sahaja yang belum sesuai dibuka pada masa ini, tetapi juga pusat membeli belah dan juga sekolah. Bagi pendapat saya, ia hanya sesuai dibenar beroperasi apabila kes menurun sehingga sifar dan keseluruhan daerah di Sabah bertukar kepada zon hijau atau sekurang-kurangnya zon kuning," katanya.

Ollye Dominik pula berpendapat, pengumuman itu satu berita baik kepada semua umat Kristian yang amat merindui datang ke gereja.

Ollye

Bagaimanapun katanya, dalam masa bergembira dan bersyukur, umat harus memainkan peranan masing-masing mengekang penularan covid-19 dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.


"Ini bukan bermakna, apabila gereja dibenarkan dibuka, tiada sudah jangkitan Covid-19. Sebaliknya kita mesti sentiasa berhati-hati, kerana kita berhadapan dengan penyakit yang belum ada ubat.


"Oleh itu, patuhi SOP, jaga jarak, sentiasa guna pelitup muka dan hand sanitizer. Bila jumpa kawan lama, tidak perlulah berpeluk-pelukan dan bersalam-salaman, tetapi cukup sekadar tundukkan kepala dan lambaikan tangan, bercerita dalam jarak 1 meter.


"Sebab walaupun kita nampak mereka sihat tetapi kita tidak tahu mereka itu negatif sebab ada yang tidak mempunyai simptom," katanya.

Scully berkata, vaksin terbaik ketika ini ialah diri sendiri dengan terus mematuhi SOP dan amalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Sementara itu Jenny Severinus berkata, walaupun kerajaan telah memberikan kebenaran kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam melaksanakan aktiviti dan program bermula 19 Feb lalu, namun Chapel St.John Tiong Ratau belum lagi dibuka pada hari ini kerana pemimpin gereja belum mengadakan mesyuarat pembukaan gereja paroki Bundu Tuhan.

Jenny

"Mesyuarat itu bertujuan memberi penerangan SOP yang perlu kita ikuti dan sediakan di gereja atau chapel untuk menerima umat setiap hari minggu.


"Semasa Krismas lalu, antara SOP yang ditetapkan ialah kanak-kanak dan warga tua tidak dibenarkan ke Chapel, sebaliknya mereka hanya mengikuti misa kudus secara online," katanya.

Jenny berkata, walaupun berada di kampung, tetapi mereka tetapi mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19.


"Sebab kita risau, ada yang tidak mempunyai sebarang simptom tetapi sebenarnya dia positif Covid-19, itu sebabnya kita mesti sentiasa mematuhi SOP di mana sahaja kita berada," katanya