• nabalunews

KEBENARAN RENTAS NEGERI TERTAKLUK PENILAIAN RISIKO KKM - ISMAIL SABRI

Gambar hiasan

2 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Keputusan membenarkan pergerakan rentas negeri sekiranya kes harian COVID-19 turun kepada dua angka tertakluk kepada penilaian risiko Kementerian Kesihatan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau berkata KKM akan membentangkan cadangan yang berkaitan kepada Jawatankuasa Teknikal serta Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum sebarang keputusan dibuat.



"Kalau kes menurun kepada dua angka pastinya KKM akan menasihati… kalau ada cadangan baharu sama ada nak membenarkan atau sebaliknya bagi rentas negeri akan dibentangkan KKM.


"Kita tunggu (keputusan) dan berdoa supaya kes ini terus menurun hingga dua angka seperti yang disebutkan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah)," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.


Belia ditanya mengenai kemungkinan pergerakan merentas negeri akan dibenarkan sekiranya kes harian COVID-19 turun kepada dua angka.



Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata KKM menjangkakan kes harian COVID-19 dapat diturunkan kepada dua angka pada Mei ini.


Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan kebenaran rentas daerah bagi semua negeri kecuali Sabah bermula 5 Mac.


Sementara itu, ditanya sama ada perbuatan menghasut orang ramai menolak vaksinasi COVID-19 merupakan kesalahan, Ismail Sabri berkata tindakan tersebut merupakan kesalahan di bawah Ordinan Darurat kerana dianggap mendatangkan khianat awam dengan niat menakutkan orang ramai. - Bernama


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com