top of page

KEBERKESANAN MEKANISME PENYAMPAIAN BANTUAN COVID-19 DI SABAH PERLU DIPERTINGKAT

  • nabalunews
  • Nov 8, 2020
  • 1 min read

Gambar Hiasan

8 Nov 2020

SANDAKAN: Keberkesanan mekanisme penyampaian bantuan kepada golongan terjejas akibat pandemik COVID-19 di semua peringkat di Sabah perlu dipertingkat, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Khairul Firdaus Akbar.

Beliau berkata langkah segera perlu dilaksanakan susulan peningkatan kes yang semakin membimbangkan di negeri itu.

"Mesyuarat Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Sabah (di Kota Kinabalu semalam) telah membincangkan pelbagai perkara susulan permintaan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor, yang juga Ketua BPN Bersatu Negeri, untuk mendapatkan maklum balas akar umbi berhubung permasalahan rakyat khususnya dalam menghadapi penularan pandemik COVID-19.

"Beberapa tindakan segera perlu dilaksanakan termasuk menambah penglibatan jentera penyampaian untuk membantu petugas kerajaan sedia ada daripada Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa tempatan," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul Firdaus berkata selain itu, sistem pengesanan golongan rakyat yang terjejas dari segi akses dan sumber keperluan makanan juga perlu diperkemas.

Sehingga semalam, Sabah mencatatkan 616 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif sebanyak 16,614.

Mengenai Belanjawan 2021 Sabah yang bakal dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri bulan ini, beliau berkata sebuah Pasukan Petugas Khas BPN Bersatu Sabah telah dibentuk untuk merumuskan syor serta cadangan kepada kerajaan negeri berhubung input dan pengisian belanjawan itu.

"Mesyuarat bersetuju agar antara teras utama yang perlu dipertimbangkan ialah kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi negeri dalam menghadapi pandemik COVID-19," katanya. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page