Kegigihan anggota APM agih bantuan makanan di Kg. Mangkabusu

7 Jan 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PITAS: Lapan anggota APM terpaksa memikul bakul makanan dan berjalan kaki melalui jambatan gantung untuk menghantar dan mengagih-agihkan bantuan kepada 102 penduduk Kampung Mangkabusu, lebih kurang 35 kilometer dari pekan Pitas.
Kampung Mangkabusu adalah antara satu daripada 32 kampung yang terperangkap ekoran laluan utama dinaiki air.
Anggota APM, Unit Bencana Daerah Pitas Azroy Akam berkata, satu-satunya jalan perhubungan ke kampung itu ialah dengan menaiki perahu atau melalui jambatan gantung kerana tiada jalan raya.
"Saya bersama beberapa anggota APM dan dibantu oleh penduduk kampung terpaksa berulang alik sejauh 500 meter membawa bakul makanan berisi 10kg beras dan beberapa keperluan asas makanan lain melalui jambatan gantung.
"Ini adalah antara cabaran APM untuk mengagihkan bantuan bakul makanan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul' tetapi saya gembira kerana dapat membantu mereka yang memerlukan bantuan.

“Semasa banjir, mereka tidak dapat keluar kerana jalan utama ke kampung ini cuma boleh dihubungi melalui jambatan gantung atau menaiki perahu tetapi banjir besar menyebabkan penduduk kampung terperangkap,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.
Azroy berkata, keadaan jambatan gantung juga tidak mengizinkan ramai orang melaluinya dalam satu masa.
“Sebab itu kami terpaksa bergilir-gilir melaluinya, hanya dua orang boleh melaluinya dalam satu masa," katanya.
Seramai lapan anggota APM Pitas bersama anggota Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA), Jabatan Perhutanan dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) mengagih-agihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk kampung yang terputus hubungan disebabkan banjir baru-baru ini.
Operasi mengagih-agihkan bantuan itu diketuai oleh Ketua Operasi dan Bencana daerah KPL (PA) Joyini Buling.
Kampung lain yang turut terjejas banjir juga akan diberikan bantuan secara berperingkat-peringkat.
Yorumlar